Polis semak dengan teliti dokumen rentas negeri - Utusan Malaysia

Polis semak dengan teliti dokumen rentas negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Polis kini menapis dengan ketat individu yang mahu melakukan pergerakan rentas sempadan negeri ini dengan Terengganu di beberapa pintu masuk iaitu Pachakan, Tok Telaga dan Pachakan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, PADA masa sama, kawalan di lorong-lorong tikus dipertingkatkan susulan pihaknya mengesan kewujudan ‘jalan baharu’ untuk orang ramai merentas negeri secara haram dengan menaiki motosikal.

Katanya, pada peringkat awal pemantauan, terdapat 15 lorong tikus namun meningkat kepada 26 dan pihaknya segera bertindak menutup laluan tersebut dengan kon penghalang serta kawat besi.

“Esok Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Besut berkuat kuasa. Tindakan drastik mengawal ketat lorong tikus dan membuat tapisan teliti di tiga SJR dilaksanakan dengan membuka hanya satu lorong keluar masuk merentasi sempadan negeri.

“Kesemua surat kebenaran yang luput tarikh dan tidak bertepatan dengan kehendak PKP akan dirampas dan mereka yang terlibat diarah berpatah balik,” katanya dalam sidang akhbar di SJR Tegala Papan di sempadan Kelantan/Terengganu, di sini hari ini.

Abdul Rozak berkata, mulai esok pergerakan lebih 400 guru untuk keluar masuk merentas sempadan negeri tidak akan dibenarkan kerana mereka secara rasmi akan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai Ahad.

“Kita harap guru besar dan pengetua sekolah memahami perkembangan dan keperluan semasa tanpa perlu membebankan guru untuk merentasi negeri semata-mata untuk mengambil bahan pengajaran,” ujarnya.

Menurutnya, sepanjang bulan lepas sebanyak 10 kompaun dikeluarkan dan pada minggu ini hanya enam kompaun dikeluarkan kepada individu yang merentasi negeri tanpa sebarang dokumen sah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya