GEORGETOWN: Polis melaksanakan sebanyak 42 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa daerah dan mukim bermula tengah malam ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, SJR itu membabitkan sembilan lokasi di daerah Timur Laut dan tiga di daerah Barat Daya di bahagian pulau.
Selain itu tambahnya, 15 SJR akan diadakan di daerah Seberang Perai Utara serta masing-masing lapan dan tujuh SJR di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
“Aktiviti rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan dalam tempoh PKP bermula esok hingga 23 Mei depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bermula tengah malam ini, beberapa kawasan di negeri ini dikenakan PKP 3.0 iaitu daerah Timur Laut; Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta Mukim 12, Barat Daya; Bandar Butterworth, Seberang Perai Utara dan Mukim 14, Seberang Perai Utara. – UTUSAN ONLINE










