PKPD di lokaliti Johor, Sarawak, 460 pesalah ingkar SOP ditahan

PKPD di lokaliti Johor, Sarawak, 460 pesalah ingkar SOP ditahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di dua lokaliti berbeza masing-masing di Johor dan Sarawak mulai lusa sehingga 25 Mei depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya ialah di Felda Kahang Timur, Daerah Kluang, Johor kerana berlaku peningkatan jumlah kes dengan 28 orang disahkan positif sehingga semalam.

Menurut beliau, turut dikenakan PKPD ialah di Kampung Bako Hilir, Bahagian Kuching, Sarawak ekoran 17 kes positif direkodkan daripada 62 ujian saringan.

“PKPD di Felda Umas, Daerah Kalabakan, Bahagian Tawau, Sabah yang sepatutnya tamat pada esok, namun dilanjutkan lagi selama 14 hari sehingga 25 Mei ini ekoran sebanyak 122 kes positif direkodkan daripada 1,200 ujian saringan dengan masih berlaku penularan dan ada banyak baki sampel belum dapat keputusan makmal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri memaklumkan bahawa PKPD di enam lokaliti di seluruh negara bakal ditamatkan dengan ada yang berakhir lebih awal daripada dijadualkan sebelumnya.

PKPD di Maahad Tahfiz Al-Azhari, Jajahan Machang, Kelantan ujarnya, ditamatkan hari ini berbanding sepatutnya pada 12 Mei manakala selebihnya berakhir esok seperti dijadualkan.

Ia meliputi Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan; Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu 2, Lorong Habib Abdul Rahman dan PPR Batu 8, Jalan Apas, Bahagian Tawau, Sabah.

Juga di Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis & Tanaki), Daerah Kinabatangan, Sandakan, Sabah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Balingian, Bahagian Sibu, Sarawak.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara merekodkan 460 individu diberkas semalam dengan 456 daripadanya dikompaun manakala empat direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran.

Kesalahan itu ujarnya, mencatatkan 106 kes, diikuti tidak memakai pelitup (80), gagal jarak fizikal (79), aktiviti pusat hiburan (50), merentas tanpa kebenaran (tiga) dan lain-lain (142).

“Seramai 20 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan sebuah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 90 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui lapan aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 935 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya dikuarantin manakala 7,604 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib.

Sejumlah 1,890 individu terlibat telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 191,024 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 484 peruncit, 157 pemborong dan 32 pengilang selain melakukan sejumlah 1,736 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya