PKP penuh ikhtiar terakhir? - Utusan Malaysia

PKP penuh ikhtiar terakhir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua ming­gu bermula esok dalam usaha melandaikan graf jangkitan Co­vid-19 akan gagal jika rak­yat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dalam keadaan hospital dan fasiliti kesihatan di negara ini yang sudah sampai ke tahap maksimum dan kes jangkitan melonjak drastik, dibimbangi keadaan sama seperti berlaku di India sebelum ini terjadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Victor Hoe Chee Wai Abdullah berkata, paling membimbangkan apabila sampai satu tahap doktor terpaksa memilih siapa yang berpeluang untuk hidup atau siapa yang akan mati akibat Covid-19.

“Kita anggap sahaja PKP penuh ini sebagai jalan terakhir. Jika sekatan ini pun tidak berhasil akibat ramai yang leka, apa lagi pilihan kita ada walhal sebelum ini kita sudah tampil dengan pelbagai langkah pencegahan namun kes tetap meningkat.

“Kalaulah semakin ramai yang dijangkiti dan pesakit pula adalah kategori tiga hingga lima, jangan hairan jika masalah wabak tidak selesai. Lagi pun, fasiliti kita memang tidak mencukupi, malah Malaysia secara jelas berada di kedudukan pa­ling atas untuk kes Covid-19 di rantau Asia Tenggara.

“Cuma, saya harap apa yang berlaku di negara luar tidak akan berlaku kepada kita. Sebab itu, rakyat kena berhati-hati. Jangan lagi ke mana-mana tanpa sebab munasabah sepanjang sekatan pergerakan penuh,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Malaysia sekali lagi melalui kitaran sekatan pergerakan penuh bermula dengan semua sektor ekonomi dan sosial ditutup selepas kali pertama dan terakhir melaksanakannya di awal kemunculan wabak Co­vid-19 pada Mac tahun lalu.

Sekatan tersebut menyaksikan negara rugi RM63 bilion atau RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan PKP dan jika PKP dilanjutkan dalam tempoh sebulan, kerugian boleh mencecah sehingga RM100 bilion.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan, Kolej Universiti Manipal Malaysia, Prof. Dr. G. Jayakumar pula berkata, kerajaan perlu menambah lebih banyak fasiliti kesihatan seperti alat bantuan pernafasan dan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di seluruh negara.

Katanya, bagi mengelakkan berlaku lompatan drastik daripada kategori biasa kepada kategori kritikal, beliau mengingatkan orang ramai yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan penyakit buah pinggang untuk tetap berjumpa doktor bagi tujuan pemeriksaan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×