PUTRAJAYA: Bilangan petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 semakin membimbangkan apabila jumlahnya naik mendadak kepada 2,328 orang pada Januari lalu dengan keseluruhan yang positif seramai 6,620 orang sejak Mac tahun lalu.
Selangor mencatat bilangan tertinggi 1,545 kes diikuti Sabah (1,479), Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing (760), Sarawak (584), Johor (531) Kelantan (307), Perak (289) dan Terengganu (287).
Negeri Sembilan pula merekodkan 274 kes, Kedah (182), Melaka (143), Pulau Pinang (134), Pahang (73) Labuan (19) dan Perlis (13).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, jumlah petugas kesihatan dijangkiti mula meningkat mendadak selepas September tahun lepas ketika bermula tempoh gelombang ketiga pandemik tersebut yang merekodkan 84 kes dijangkiti pada September dan angka itu terus melonjak kepada 539 kes pada Oktober tahun lalu.
Kata beliau, angka tertinggi dicatatkan pada Januari lalu dengan merekodkan sebanyak 2,328 petugas kesihatan dijangkiti pandemik itu dan seramai 1,150 pula dikesan pada Februari lalu, manakala 864 lagi pada Disember tahun lalu.
“Kesemua 6,620 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 itu adalah dalam kalangan petugas di bawah Kementerian Kesihatan manakala kes-kes melibatkan institusi kesihatan swasta merekodkan seramai 1,092 kes selain mereka dalam perkhidmatan sokongan KKM (75 kes) dan pelatih kementerian itu (14 kes) sekali gus meliputi jumlah keseluruhan 7,801 kes,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, seramai 868 petugas kesihatan pula terpaksa menjalani kuarantin atau perintah pengawasan di rumah (HSO) dalam tempoh sepanjang tahun ini sahaja.
Dalam pada itu, Adham berkata, pihaknya merekodkan seramai 180 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas tempoh 14 hari menerima dos kedua vaksin Covid-19.
“Kita sentiasa mengingatkan semua petugas kesihatan tidak mengabaikan langkah penjagaan diri semasa bertugas dan merawat pesakit seperti wajib memakai pelitup muka semasa mengendalikan mana-mana pesakit dan semasa berada dalam persekitaran tempat kerja termasuk pantri dan bilik rehat,” ujarnya.
Di seluruh negara menyaksikan masalah pandemik itu semakin mencabar dengan di Kelantan, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni, Kota Bharu tidak dikhususkan kepada mana-mana jantina seperti PKRC lain berikutan bilangan katil yang terhad.
Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium tertutup Malawati, Shah Alam, Selangor pula dipenuhi pesakit Covid-19 susulan kehadiran individu luar dari daerah Petaling dipercayai kerana kesukaran menghubungi pejabat kesihatan daerah (PKD) masing-masing.
Situasi di PKRC 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) 2.0 juga semakin mencabar dengan kemasukan lebih ramai pesakit Covid-19 kategori 3 yang mana pada PKRC Maeps hanya mempunyai sebanyak 60 katil untuk kategori itu awal Januari lalu tetapi kini menempatkan seramai 757 pesakit.
Pada masa sama, masyarakat seolah-olah tidak sedar dengan cabaran yang menimpa apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 1,424 kompaun melibatkan pelbagai kesalahan di seluruh negara dalam tempoh empat hari iaitu sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 12 Mei lalu hingga kelmarin.
Pada masa sama, Dr. Adham menyeru orang ramai supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuat kuasakan demi memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19.
Katanya, negara sedang berdepan krisis kesihatan dahsyat sekali gus boleh ‘melumpuhkan’ golongan petugas kesihatan untuk membantu dalam penjagaan dan rawatan pesakit jika semakin ramai mereka dijangkiti Covid-19 hanya kerana mereka menjalankan tugas dalam berjuang melawan wabak itu.
“Saya menyeru rakyat Malaysia terus mematuhi SOP. Keluar rumah apabila perlu sahaja dan elakkan pergi ke kawasan yang sesak dan sempit. Kita semua bertanggungjawab berjuang memutuskan rantaian jangkitan virus ini,” katanya. – UTUSAN










