`Pesan jaga SOP, Covid-19 itu wujud’ - Utusan Malaysia

`Pesan jaga SOP, Covid-19 itu wujud’

PASANGAN warga emas yang meninggal dunia selang dua minggu berikutan Covid-19 di Arau, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: “Sebelum ayah meninggal dunia pada 22 Mei lalu, setiap hari semasa di hospital ayah telefon pesan kepada kami supaya sentiasa berjaga-jaga dan patuh prosedur operasi standard (SOP). Kata ayah, Covid-19 itu wujud dan cukup bahaya.”

Demikian kongsi Najihah Said, 45, anak kedua daripada tujuh beradik kepada Utusan Malaysia selepas kehilangan ibu, Norizah Izhak, 59, dan bapanya, Said Md. Ariff, 74, selang 10 hari selepas kedua-duanya dijangkiti wabak tersebut.

Norizah meninggal dunia pada 6 Mei sebelum disusuli Said Sabtu lalu semasa dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Kangar.

Cerita Najihah yang bekerja sebagai guru itu, apa yang menyedihkan, semasa pemergian ibu, mereka tidak dapat melihat insan tersayang tersebut dikebumikan kerana masih berada dalam tempoh kuarantin manakala semasa pengebumian bapa pula adik-beradiknya hanya mampu melihat dari jauh.

“Sepanjang ayah berada di hospital, ayah selalu tulis dan setiap hari telefon agar kami semua berjaga-jaga kerana Covid-19 itu wujud dan bahaya. Pesan ayah, patuhi SOP, kerana Covid-19 itu kita tidak nampak. Ayah sangat kuat bertahan pada masa itu.

“Ayah dan ibu sendiri tidak tahu di mana mereka terkena jangkitan Covid-19. Masa ibu masuk hospital, dia sudah berada di tahap lima,” katanya sambil memaklumkan sembilan ahli keluarganya turut positif Covid-19 tetapi kini sudah sembuh sepenuhnya.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa ibunya pada 1 Mei lalu sebelum warga emas tersebut dimasukkan ke hospital dan disahkan positif Covid-19.

Jelas Naihah, dia tidak menyangka ibu bapanya positif Covid-19 kerana sebelum itu mereka sihat.

“Ibu sesak nafas ketika itu dan kami ingat hanya penat biasa memandangkan ibu sememangnya mempunyai penyakit lelah sebelum ini manakala ayah pula mempunyai masalah jantung,” katanya.

Tambahnya, dia dan keluarga seolah-olah tidak percaya ibu serta bapanya meninggal dunia akibat Covid-19.

“Selalu tengok orang lain tetapi apabila terjadi kepada keluarga sendiri rasa sangat terkejut. Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah dan ibu. Ajal dan maut sememangnya ketentuan Allah SWT, cuma kami tidak sangka mereka meninggal dunia disebabkan Covid-19.

“Saya harap semua orang sentiasa mematuhi SOP dan bagi yang masih mempunyai ibu bapa jaga baik-baik kerana warga emas sangat mudah dijangkiti,” pesannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×