Penjaga stor TNB ditemukan maut dalam tandas - Utusan Malaysia

Penjaga stor TNB ditemukan maut dalam tandas

MAYAT Abdul Raman Abu Bakar dibawa ke Hospital Dungun selepas ditemukan maut dalam sebuah tandas di Stesen Janakuasa Elektrik di Paka, Dungun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang penjaga stor Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditemukan maut dalam sebuah tandas di Stesen Janakuasa Elektrik di Paka di sini, semalam.

Mayat Abdul Raman Abu Bakar, 57, ditemukan terbaring tidak sedarkan diri oleh anggota polis bantuan kira-kira pukul 8 malam selepas usaha mencari mangsa digerakkan di sekitar kawasan itu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kehilangan mangsa disedari isterinya berikutan lelaki itu gagal dihubungi sejak tengah hari untuk pulang makan di rumah seperti kebiasaan.

Katanya, curiga dengan keadaan itu, isteri mangsa memaklumkan kepada polis bantuan di stesen berkenaan untuk mencari suaminya yang tidak pulang selepas selesai waktu bekerja, kira-kira pukul 7 malam.

“Ketika mencari mangsa, anggota polis bantuan itu mendapati telefon bimbitnya ada di atas meja manakala keretanya masih di stor tersebut.

“Pencarian kemudian diteruskan di tandas dan anggota itu mendapati satu pintu berkunci, namun ternampak kaki mangsa terjulur keluar lalu segera menghubungi pasukan bomba untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes itu dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN