Peniaga tepi jalan jangan harga - Utusan Malaysia

Peniaga tepi jalan jangan harga

NORAZAH Jaapar membuat pemeriksaan terhadap peniaga daging sempena fasa kedua SHMMP 2021 di Pasar Besar Sena, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Segelintir peniaga daging dan ayam yang lazimnya muncul di tepi-tepi jalan menjelang Hari Raya Aidilfitri diingatkan mematuhi Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 seperti ditetapkan kerajaan.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, Norazah Jaapar berkata, para peniaga terbabit tidak akan terlepas daripada pemantauan, malah anggotanya sering membuat pemeriksaan terhadap mereka.

“Pemantauan harga SHMMP 2021 bukan sahaja dijalankan di pasar sahaja, tetapi melibatkan semua peniaga yang menjual barangan basah termasuk di tepi-tepi jalan ini.

“Sebagai contoh, di Pauh, kita lihat ramai peniaga ayam atau daging segar berniaga di tepi jalan sahaja dan pasukan penguat kuasa kita tetap turun padang menjalankan pemantauan harga dan advokasi. Oleh itu, memang tidak ada masalah yang timbul,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan SHMMP 2021 di Pasar Besar Sena di sini hari ini.

Sementara itu, Norazah berkata, pemeriksaan mendapati semua peniaga mematuhi skim kawalan tersebut dengan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu serta mengikut harga ditetapkan.

“Maklum balas daripada peniaga juga mendapati bekalan barang mudah didapati yang sekali gus menjadikan bekalan barang basah mencukupi di pasaran.

“Malah ada juga peniaga yang menjual barang seperti sayur yang turut dimasukkan dalam senarai 20 barang kawalan tambahan bagi fasa dua pada harga yang lebih rendah daripada harga yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, terdapat 13 kes yang dikenakan kompaun di bawah Op Pantau dan Op. Catut 2.0 yang mana turut berlangsung sepanjang tempoh ini. Kesalahan ini merangkumi pencatutan harga daripada segi kawalan harga dan Akta Timbang Sukat yang mana mesin timbang sukat sudah tamat tempoh sah,” ujarnya.

Tambahya, sebanyak 32 notis juga dikeluarkan termasuk kepada pemborong dan peruncit di pelbagai sektor termasuk industri pembinaan, pemborong ayam dan elektronik, namun tiada kompaun yang dikeluarkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya