–
PETALING JAYA: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan #Buka Puasa Parlimen di perkarangan Jalan Parlimen dekat sini semalam bagi diambil keterangan dalam masa terdekat ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, semakan awal mendapati tiada sebarang permohonan dibuat terhadap pihaknya mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan tersebut.
Katanya, kira-kira 90 individu terdiri daripada ahli Parti Muda dan Pejuang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan tersebut.
“Antara ucapan diberikan mengenai tuntutan yang meliputi isu Undi 18 dan membuka semula Parlimen serta menamatkan perintah darurat.
“Terdapat juga beberapa kad dan kain rentang dipamerkan oleh individu yang tidak dikenali semasa perhimpunan seperti: Rakyat Bangkit, Tamat Darurat, Bekerja Untuk Rakyat, Buka Parlimen Dan Tamat Darurat, Buka Puasa, Buka Parlimen, Jaminan Kemandirian Ekonomi Rakyat, Undi 18 Now!, Kerajaan Gagal, Sudah Daftar Sebagai Pengundi? dan Pejuang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohamad Zainal, tiada sebarang tangkapan dan rampasan dilakukan.
Ujarnyq, perhimpunan tersebut didapati berlangsung secara aman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Awam 2012 iaitu perhimpunan tanpa notis,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE