Pemulihan KDNK 6-7.5% mungkin sukar - Utusan Malaysia

Pemulihan KDNK 6-7.5% mungkin sukar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di beberapa negeri utama yang mungkin diadakan dalam masa terdekat akan memberi kesan buruk kepada ekonomi secara keseluruhan sekali gus menyukarkan sasaran pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkan enam hingga 7.5 peratus.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, meskipun data-data terkini di tahap positif seperti kenaikan jumlah eksport sehingga 31 peratus dan Indeks Harga Pengeluar (PPI) untuk pengilang tempatan yang naik 6.7 peratus, namun sekiranya kes Covid-19 masih meningkat pastinya akan menjejaskan ekonomi.

“Apabila sekatan PKP 3.0 diadakan seperti kaedah PKP sebelum ini, sudah tentu ekonomi terjejas. Contohnya tahun lalu, apabila negara sedang pulih secara positif, gelombang ketiga berlaku pada suku keempat 2020 dan KDNK negara menyusut dari -2.6 peratus kepada -3.4 peratus.

“Kelewatan program vaksinasi menjadikan situasi lebih sukar untuk mencapai sasaran pemulihan KDNK tersebut. Sekiranya negara terus mencatatkan kenaikan kes jangkitan dalam dua minggu mendatang, tidak mustahil sekatan akan dilanjutkan selepas 17 Mei,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ujar Aimi Zulhazmi, penguatkuasaan PKP sekali lagi memang sukar kerana perlu menyeimbangkan antara usaha penjagaan kesihatan rakyat dan memastikan ekonomi kembali pulih.

Selain itu jelasnya, kerajaan perlu terus mengeluarkan perbelanjaan tambahan yang berlarutan untuk membantu semua lapisan masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagi mengelakkan jangkitan berleluasa, sudah tentu pergerakan harus dihadkan, apabila dihadkan pendapatan terjejas terutamanya penjaja kecil.

“Untuk mencari titik pengimbangan ini, pihak berkuasa harus menggunakan teknologi pintar terutama analitik data supaya dapat memberikan tindak balas yang pantas dalam situasi sentiasa berubah-ubah ini,” jelasnya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan PKP dilaksanakan di negeri membabitkan kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan.
Berikutan itu, kementerian mengemukakan cadangan pelaksanaan PKP di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Sarawak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya