Pemandu lori tendang AJK pangsapuri didenda RM5,500

Pemandu lori tendang AJK pangsapuri didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindak-tanduk seorang pemandu lori yang tular kerana menendang dan mengugut seorang Ahli Jawatankuasa Pengurusan (AJK) di sebuah pangsapuri dua tahun lalu dijatuhi hukuman denda RM5,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Insiden tersebut tular dalam media sosial ekoran tindakan lelaki berkenaan Syed Mohamad Nizam Syed Hussein yang berang selepas diminta mengalihkan kenderaannya yang menghalang kereta penghuni pangsapuri tersebut.

Pada prosiding hari ini, Majistret Nurshahira Abdul Salim turut memerintahkan agar tertuduh, Syed Mohamad Nizam Syed Hussein dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda tersebut.

Terdahulu, Syed Mohamad Nizam, 46, mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Khairul Anwar Khairuddin, 40, dengan menendang mangsa pada bahagian badan sebelah kiri.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada empat anak itu didakwa telah melakukan khianat dengan merosakkan besi palang pengawal milik pengurusan pangsapuri itu dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Tertuduh turut didakwa mengugut mangsa dan dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 11.30 pagi, 2 November 2019 di bahagian bawah sebuah blok pangsapuri di Kota Damansara di sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sewaktu mengemukakan rayuan, Syed Mohamad Nizam memohon hukuman yang ringan memandangkan beliau merupakan penanggung tunggal dan menyara seorang isteri dan empat orang anak yang mana dua daripadanya kini sedang menuntut di sebuah kolej.

Bagaimanapun, pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal bagi memberi pengajaran kepadanya.

Pada awal November 2019, tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki yang menggelar dirinya Lan Gila menendang dan mengugut untuk mencederakan ahli jawatankuasa pengurusan sebuah pangsapuri.

Melalui rakaman video tersebut, Lan Gila dilihat memegang sebatang besi dan dilihat beberapa kali mengugut untuk mencederakan sesiapa yang cuba mengunci tayar kenderaannya sebelum membuang peralatan mengunci kenderaan di kawasan semak bersebelahan pangsapuri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya