Parkir lebih banyak berbanding pengunjung - Utusan Malaysia

Parkir lebih banyak berbanding pengunjung

KEADAAN di Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, Negeri Sembilan ketika tinjauan Utusan Malaysia, semalam. UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kebiasaannya, menjelang perayaan Aidilfitri mahupun cuti sewaktu hujung minggu, Pusat Perniagaan Nilai 3, Nilai, dekat sini menjadi tumpuan orang ramai.

Permaidani, langsir dan perabot kayu jati menjadi pilihan pengunjung yang mahu membeli-belah sebagai persiapan bagi menyambut lebaran.

Namun situasi berkenaan tidak lagi berlaku dan tinjauan Utusan Malaysia di Nilai 3 semalam mendapati, kawasan tersebut lengang walaupun kebanyakan kedai dibuka.

Hanya kelihatan pekerja yang menanti kehadiran pengunjung sejak pagi dan menurut beberapa pekerja di kawasan itu, keadaan tersebut berlaku sejak larangan rentas negeri dikuatkuasakan serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lembah Klang.

Seorang pekerja kedai permaidani, Ali Khan, 28, berkata, sejak kedai tempatnya bekerja itu dibuka, tiada seorang pun pengunjung yang datang.

“Dari pagi tadi, tiada yang datang pun, tiada pembeli. Kami baru beroperasi semula selepas cuti pada hari raya pertama dan kedua, kelmarin pun tak ramai yang datang.

“Semasa Ramadan juga di sini tidak ramai pengunjung, tahun-tahun sebelum ini biasanya Nilai 3 meriah dengan orang ramai mencari langsir dan barang hiasan rumah untuk Aidilfitri, namun sekarang tidak lagi,” katanya.

Bagi pekerja sebuah kedai langsir, Mariani Saad, 33, pula, ketika ini lebih banyak tempat meletakkan kenderaan berbanding pengunjung.

“Sebelum ini kalau Aidilfitri, tempat parkir di sini penuh. Memang meriah, gerai-gerai kecil menjual makanan dan minuman juga penuh tapi sekarang ini, Nilai 3 lengang dan sunyi.

“Tidak boleh buat apa, kedai perlu dibuka, kami perlu terus berniaga walaupun pengunjung tiada. Selagi ada PKP dan larangan rentas negeri memang keadaan di Nilai 3 akan begini,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya