PUTRAJAYA: Pemakaian dua pelitup muka digalakkan kerana berkemampuan menapis 95 peratus virus sekali gus melindungi pemakai dari dijangkiti Covid-19.
Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dengan berkata, pemakaian dua pelitup amat bertepatan apabila berada di kawasan berisiko tinggi seperti hospital.
“Malah, kita menggalakkan petugas kesihatan di hospital memakai pelitup muka dan pelindung muka dalam memastikan diri mereka tidak dijangkiti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gambar Dr. Noor Hisham yang dilihat memakai dua pelitup muka ketika mengadakan lawatan lapangan di hospital Covid-19. – UTUSAN










