PETALING JAYA: Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) yang sepatutnya berlangsung semalam ditangguhkan ke tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.
Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai kepada Utusan Malaysia hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan alasan penangguhan tersebut.
“Sepatutnya mesyuarat PN berlangsung di Pejabat PN di Publika, pukul 5 petang semalam, tetapi ditangguhkan. Tarikh baharu belum dimaklumkan,” katanya.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan barisan kepemimpinan PN dijadual mengadakan mesyuarat khas dipercayai bagi membincangkan isu berhubung masa depan gabungan itu selepas sokongan UMNO tamat Ogos ini.
Mesyuarat bermula pukul 5 petang di Pejabat PN di Publika, dekat sini itu dijangka dihadiri seramai 17 kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ditanya agenda mesyuarat tersebut, Hoe Chai merangkap Presiden Gerakan berkata, ia hanya mesyuarat bulanan PN dan membincangkan arah tuju parti serta negara pada masa depan.
“Tiada agenda khas khususnya berkenaan penamatan kerjasama UMNO, ia adalah mesyuarat biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin juga memaklumkan mesyuarat tersebut tidak berlangsung seperti dijadual.
“Tiada mesyuarat PN,” katanya ringkas.- UTUSAN










