GEORGETOWN: Polis Daerah Timur Laut menubuhkan pasukan khas bagi memantau segala aktiviti sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sebanyak 30 pasukan khas ditugaskan untuk memantau setiap aktiviti yang dilarang di daerah ini melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan.
Katanya, pemantauan ketat dilaksanakan berikutan peningkatan kes penularan pandemik Covid-19 di negeri ini ketika ini.
“Ada lagi penambahan pasukan pemantau sepanjang perayaan Aidilfitri ini dan kita juga menjurus kepada maklumat disalurkan orang awam.
“Lapor kepada polis jika nampak sebuah rumah terlalu ramai pengunjung atau berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang hari raya nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak tujuh sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di daerah Timur Laut sepanjang tempoh PKP 3.0 bermula esok.
Katanya, lokasi SJR melibatkan laluan masuk Jambatan Pulau Pinang dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan Batu Uban, Paya Terubong, Relau, Bukit Gambir, Batu Feringghi dan Jalan Sultan Shah di hadapan Balai Polis Sungai Nibong.
“Kali ini kita mengetatkan lagi kawalan dan pemantauan di lokasi-lokasi SJR agar tiada berlaku cubaan merentas daerah sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri ketika PKP dilaksanakan.
‘Kita juga telah mengenal pasti laluan utama untuk merentasi ke daerah Barat Daya iaitu di Batu Feringghi, Paya Terubong, Relau, Bayan Baru dan Bukit Gambir,” ujarnya.
Kawalan pergerakan di lokasi-lokasi terbabit dilaksanakan dengan kerjasama polis daerah Barat Daya. – UTUSAN ONLINE










