Ketua Pengarah Jakoa perlu dilantik dalam kalangan masyarakat Orang Asli - Utusan Malaysia

Ketua Pengarah Jakoa perlu dilantik dalam kalangan masyarakat Orang Asli

RAMLI MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kosong setelah penyandangnya, Profesor Dr. Juli Edo yang merupakan masyarakat kaum berkenaan tamat kontrak pada bulan lalu.

Jawatan itu pada dasarnya diberikan keutamaan untuk disandang oleh masyarakat berketurunan Orang Asli Semenanjung yang berkelayakan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd. Nor berkata, beliau menerima maklumat bahawa terdapat gerakan oleh para pegawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak disandang oleh rakyat berketurunan Orang Asli Semenanjung.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung di Dewan Rakyat yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun negara ini merdeka, beliau mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan ‘Little Napolean’ birokrasi kerajaan dalam kementerian berkenaan.

“Saya menyarankan mereka ini agar lebih menumpukan kepada tugas hakiki sebagai pegawai kerajaan iaitu melaksanakan dan memantau semua dasar kerajaan agar sampai objektifnya bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagaimana termaktub di dalam perkara 8 (5) c Perlembagaan Persekutuan dan bukan bermain politik.

“Dengan ini juga saya mengambil kesempatan mengingatkan para pegawai kerajaan bahawa dengan jelas isi kandungan perkara 8(5)c Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuota dalam perkhidmatan awam wajib diberikan kepada masyarakat Orang Asli yang berkelayakan termasuk jawatan Ketua Pengarah Jakoa.

“Saya menyaran dan menegaskan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersikap bukan sahaja adil dan saksama dalam pelantikan jawatan Ketua Pengarah Jakoa malah prihatin terutama dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan masyarakat Orang Asli yang masih tertunggak dan ketinggalan jauh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata, isu-isu teras seperti pembangunan sosioekonomi, pendidikan, kesihatan, penwartaan tanah Orang Asli/Tanah adat dan kebajikan am untuk masyarakat tersebut masih lagi ketinggalan jauh berbanding masyarakat majmuk di negara ini.

Beliau juga menyarankan supaya agensi perlaksanaan Jakoa diperkukuh dari segi penstrukturan organisasi agar penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa berlaku ketirisan dan pembaziran peruntukan kewangan rakyat.

“Kesempatan ini juga saya sebagai wakil rakyat Cameron Highlands menyarankan agar Dewan Rakyat bersidang secara prosedur operasi standard (SOP) ketat atau secara dalam talian agar isu berkepentingan rakyat dapat dibahas secara telus dan ada semak imbang berlaku atas apa saja keputusan dasar kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya