Kereta milik Sanusi dibida RM150,000 - Utusan Malaysia

Kereta milik Sanusi dibida RM150,000

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (kiri) menyerahkan kerusi yang dibida Mohammad Yaakub Yusra (kanan) di Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kereta jenis Volvo XC60 3.0cc AWD T6 (2010) milik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dibida pada harga RM150,000 untuk disalurkan kepada Tabung Palestin.

Katanya, bidaan itu ditutup pada pukul 10 pagi ini selepas dibuka menerusi Facebook beliau sejak Sabtu lalu.

“Saingan sangat sengit termasuk daripada orang bukan Islam, terdapat kira-kira 20 orang yang membuat bidaan. Namun pada jam-jam terakhir ada dua ahli perniagaan membuat bidaan.

“Akhirnya pada 9.59 pagi, Pengarah Urusan Murtadha Dakwah, Mohammad Yaakub Yusra menghantar bidaan tertinggi sebanyak RM150,000 iaitu hampir tiga kali ganda harga asal yang saya tawarkan untuk dibida iaitu RM55,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir bagi penyerahan sumbangan untuk Tabung Bantuan Palestin Badan Perhubungan Pas Kedah di Kompleks Pas Batu 9 di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya.

Pada majlis tersebut Pas Kedah mengumpul sebanyak RM1.57 juta untuk disumbangkan kepada Tabung Palestin.

Kata Muhammad Sanusi, beliau bersyukur kereta itu dapat dijual pada harga yang tinggi untuk membantu saudara Islam di Palestin.

“Wang jualan kereta sebanyak RM80,000 sudah dipindahkan ke tabung Palestin Pas Relief hari ini manakala baki RM70,000 dipindahkan esok,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Yaakub Yusra, 30, berkata, beliau sanggup membida harga tinggi bagi mendapatkan kereta itu untuk sama-sama menyumbang kepada penduduk Palestin.

Katanya, wang yang digunakan untuk bidaan itu adalah wang peribadinya dan kereta itu diwakafkan untuk kegunaan tenaga pengajar di sekolah agama persendirian miliknya.

“Saya sanggup bida dengan harga yang tinggi sebab saya rasa kita yang memerlukan Palestin untuk saham akhirat kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya