Inspirasi Niaga
SUNGAI PETANI: Minat yang mendalam dalam bidang keusahawanan mendorong seorang juruteknik di sebuah kilang elektronik di Seremban, Negeri Sembilan melibatkan diri sepenuh masa dalam perniagaan pembekal peralatan percetakan.
Walaupun tidak memiliki pengalaman dalam bidang pemasaran, jualan dan pengurusan, namun tidak menghalang Rusdi A. Manaf yang kini dilantik sebagai Pengurus Usahawan.Com Sdn. Bhd. Cawangan Kedah (UDC Kedah) menimba ilmu dari bawah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Rusdi, 43, berkelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Latihan Mara, Melaka mempunyai pengalaman kira-kira 13 tahun di kilang elektronik itu mula mengatur langkah memenuhi cita-citanya ketika bekerja sebagai juruteknik di pejabat Urusan Usahawan.Com di Senawang, Negeri Sembilan.
Menurutnya, dia mula bekerja di Usahawan.Com pada 2014 dengan melakukan kerja-kerja menyelenggara peralatan dan mesin percetakan.
“Pada masa sama, saya juga tidak ketinggalan mengikuti kursus pemasaran dan jualan yang dianjurkan oleh Usahawan.Com.
“Saya cukup teruja mengikuti kursus tersebut memandangkan saya selama ini memang berminat untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
“Sepanjang kursus itu, saya tidak pernah merasa jemu walaupun terpaksa melakukan kerja sebagai juruteknik di syarikat itu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Sejati Indah di sini, semalam.
Rusdi yang berasal dari Seremban memberitahu, selain membekal dan menjual peralatan serta bahan mentah percetakan, syarikat Usahawan.Com turut menawarkan kursus kepada orang ramai yang mahu menjadi usahawan dalam bidang tersebut.
Syarikat itu juga katanya, membekalkan peralatan perniagaan makanan dan minuman.
“Selepas mengikuti kursus dan mendapat pengalaman dalam menguruskan perniagaan, saya dilantik sebagai Pengurus UDC Kedah apabila cawangan tersebut mula dibuka pada 2018.
“UDC Kedah diberi tanggungjawab untuk memasar dan membekalkan peralatan perniagaan percetakan serta perniagaan makanan dan minuman untuk kawasan di utara Semenanjung meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak,” ujarnya.
Rusdi memberitahu, dia mengakui tugas sebagai pengurus syarikat di cawangan itu mencabar kerana perlu mencari pihak yang berminat untuk membeli peralatan tersebut dan mengatur kursus, selain perkhidmatan perundingan serta konsultasi.
Selain itu, menurutnya, syarikat juga membekalkan peralatan tersebut kepada peserta program tertentu di bawah beberapa agensi dan jabatan kerajaan.
Tambahnya, syarikat turut menyediakan kursus kepada peserta program berkenaan yang menerima peralatan berkenaan.
“Setakat ini, seramai 2,000 peserta telah mengikuti latihan yang dikendalikan Usahawan.Com Cawangan Kedah.
“Syarikat menyasarkan seramai 10,000 peserta mengikuti kursus di syarikat ini sehingga menjelang 2025. Kebanyakan peserta kursus berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Rusdi menambah, pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kursus tersebut diadakan secara dalam talian dan mendapat sambutan yang memuaskan.
“Antara kursus yang ditawarkan ialah pengurusan perniagaan, perkembangan perniagaan, pemasaran, grafik, perniagaan percetakan dan makanan,” jelasnya.
Selain itu, katanya, kebanyakan peralatan seperti mesin dan bahan mentah untuk industri percetakan serta makanan dan minuman itu diimport dari China dan Jepun.
“Peralatan percetakan serta makanan dan minuman yang dijual berharga antara RM1,000 hingga 20,000 seunit,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai peralatan perniagaan percetakan serta makanan serta minuman boleh menghubungi Rusdi di talian 019-6912297 atau melayari laman web, https://www.shop.usahawan.com. – UTUSAN










