Jambatan gantung Sungai Dingin, Mambang Berulang diarah tutup serta merta - Utusan Malaysia

Jambatan gantung Sungai Dingin, Mambang Berulang diarah tutup serta merta

MOHD. Sharkar Shamsudin (depan) meninjau kerosakan jambatan Gantung Mambang Berulang di Mentakab, Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

-TEMERLOH: Jambatan gantung Kampung Sungai Dingin dan Kampung Mambang Berulang yang merentasi Sungai Semantan, di sini diarah tutup serta-merta kerana keadaannya membahayakan keselamatan pengguna.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dalam tinjauannya ke lokasi berkenaan mendapati, ada alasan munasabah jambatan itu perlu ditutup dan diganti baharu.

Oleh itu tegasnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan bahawa enam jambatan gantung yang merentasi Sungai Semantan di sini akan diselenggara dan dibina baharu.

“Segala masalah rakyat berkaitan keperluan jambatan gantung membabitkan beberapa buah kampung di persisiran Sungai Semantan dibawa ke dalam mesyuarat Exco pada Rabu ini.

“Di sepanjang Sungai Semantan ini, terdapat beberapa buah kampung yang memerlukan jambatan gantung untuk ke bandar Temerloh atau Mentakab.

“Antara jambatan gantung itu ialah di Kampung Dala, Kampung Kelubi, Kampung Mambang Berulang, Kampung Sungai Dingin, Kampung Lompat dan jambatan gantung Kuala Semantan Esplanade Temerloh,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Sharkar berkata, tinjauannya mendapati jambatan gantung Sungai Dingin dan Mambang Berulang perlu ditutup kerana tidak sesuai digunakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang mengakui kebanyakan jambatan gantung berkenaan perlu diselenggarakan demi menjaga keselamatan penggunanya.

Beliau berkata, seharusnya kebanyakan jambatan gantung perlu diganti dengan jambatan konkrit yang memerlukan kos kira-kira RM3 juta ke RM4 juta sebuah.

Ujarnya, sebagai contoh jambatan konkrit Kampung Kuala Kaung yang dibina beberapa tahun lalu menelan belanja hampir RM4 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.