PUTRAJAYA: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan pemilik akaun Facebook Iswardy Morni yang dipercayai mengeluarkan kenyataan yang mempersenda serta menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penahanan itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 8 (2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.
Menurut beliau, Jabatan Siasatan Jenayah PDRM juga sedang menyiasat individu tersebut bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM diminta untuk memantau serta mengambil tindakan lebih tegas dan pantas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti ini demi memastikan institusi Diraja, kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam kekal terpelihara.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan menghina atau mempersendakan Yang Di-Pertuan Agong dan institusi diraja.
“Perbuatan tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab tersebut adalah satu jenayah yang boleh mengakibatkan ketidaktenteraman awam, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Iswardy Morni yang juga Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak mengeluarkan kenyataan menerusi video secara langsung dalam laman rasmi YouTube didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
Dia juga didakwa memuat naik video berhubung Total Lockdown ‘Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini’.
Video live itu turut mendapat tontonan sehingga 38,645 ribu orang. – UTUSAN