Gaza kini ibarat padang pasir

Gaza kini ibarat padang pasir

Dunia membelanjakan RM12.96 trilion untuk peperangan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian besar pemandangan di Gaza kini bertukar rupa apabila diibaratkan se­perti padang pasir selepas musnah akibat kekejaman rejim Zionis Israel sejak 7 Oktober 2023.

Antara kawasan yang kini rata akibat kemusnahan dilakukan rejim negara haram itu adalah lokasi perumahan, bangunan perniagaan dan tapak pertanian.

Lepasan Ijazah Sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asmaa Hussein Eslayeh, 30, berkata, dia dan seluruh keluarganya kini terpaksa berlindung di kem pelarian sekitar Al-Mawasi kerana rumah yang dihuninya sejak kecil sudah ranap dibedil rejim Zionis.

Katanya, bukan sahaja kediamannya bahkan bangunan perniagaan dan tanah pertanian diusahakan keluarganya di Khan Younis juga musnah.

“Kami sekeluarga masih di kem pelarian kerana kediaman kami berada di dalam zon kuning yang masih dikawal tentera Israel. Ketika gencatan senjata mula diumumkan, abang saya sempat menjenguk rumah kami sebelum dihalau tentera Zionis kerana kawasan itu masih dikuasai mereka.

“Tetapi, pemandangan di seluruh kawasan kejiranan kami sudah tidak seperti dahulu, tiada satu pun rumah di situ masih utuh, tapak perniagaan dan pertanian juga sudah lupus dari peta.

“Apa yang boleh saya katakan adalah kawasan tempat kami membesar kini sudah bertukar menjadi padang pasir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada masa sama, Asmaa berkata, sehingga kini masih ramai lagi rakyat Palestin tidak dibenarkan pulang ke kawasan kediaman masing-masing khususnya yang berada di zon kuning dan sekiranya berbuat demikian, mereka akan ditembak secara rambang oleh tentera Israel.

“Operasi tentera Israel masih lagi berjalan di zon kuning, kereta kebal, dron dan sebagainya masih boleh dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan tersebut. Mereka tidak benarkan rakyat Palestin melintasi garisan ‘ghaib’ yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh berkata, wajah Gaza kini berubah 100 peratus dengan berbaki runtuhan bangunan di seluruh wilayah.

Katanya, rumah yang dihuninya sejak puluhan tahun lalu sudah lenyap apabila diserang sebanyak lima kali dalam tempoh dua tahun genosid dilancarkan rejim Zionis sehingganya akhirnya hanya meninggalkan debu.

“Tak ada lagi rumah untuk pulang, ia lenyap bersama kenangan yang pernah memenuhi ruang-ruang di kediaman tersebut. Seluruh keluarga abang sulung saya, isteri, anak-anak dan cucu-cucunya semua tertimbus di bawah runtuhan,” katanya.

Berkongsikan keadaan selepas gencatan senjata, Abu Ayesh berkata, walaupun dentuman bom, kereta kebal mahu pun aktiviti dron sudah tidak lagi kedengaran, gema letupannya masih menghantui mereka.

“Adakah kami dapat tidur dengan tenang sekarang? Tidak. Bom mungkin sudah berhenti digugurkan tapi gema letupannya masih ada dalam diri kami. Bunyi dron sudah tiada tapi kini diganti jeritan kesedihan mereka yang kehilangan orang tersayang.

“Kami masih terjaga di tengah malam, terkejut dengan kesunyian yang terasa ganjil, menunggu letupan seterusnya yang tidak kunjung tiba dan itu lebih menakutkan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN