JASIN: Global Peace Mission Malaysia (GPM) merayu kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara menghulurkan bantuan bagi membantu penduduk di Palestin yang diserang tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza.
Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin berkata, langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman perlu dicontohi yang mana beliau adalah wakil rakyat pertama mengambil inisiatif melancarkan Tabung Selamatkan Palestin.
Beliau berkata, usaha berkenaan diharap menjadi titik tolak kepada pemimpin lain agar momentum kutipan itu dapat dipertingkat.
Katanya, sejak kempen AID For Palestine dilancarkan, kutipan yang diperoleh setakat ini berjumlah RM1.3 juta.
“Saya syorkan pimpinan sama ada di peringkat Parlimen atau DUN atau mana-mana masyarakat dapat mencontohi inisiatif yang dilaksanakan oleh DUN Sungai Rambai.
“Kalau tidak boleh buat secara fizikal disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, bantuan boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman sesawang www.pedulipalestine.com,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Tabung Bantuan Selamatkan
Palestin di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) Sungai Rambai, di sini hari ini.
Hasil daripada pelancaran tersebut, sebanyak RM5,000 dikutip dan diserahkan kepada GPM.
Sementara itu, Hasan ketika ditemui berkata, tabung berkenaan digerakkan sejak Isnin lalu dan mendapat sambutan yang baik, walaupun belum menyeluruh.
“Ini adalah usaha masyarakat DUN Sungai Rambai yang mampu kita lakukan dengan menghulurkan bantuan untuk membantu rakyat Palestin yang ditindas dengan begitu kejam oleh tentera Zionis,” katanya. – UTUSAN ONLINE