PETALING JAYA: Bilangan isi rumah kategori miskin dijangka meningkat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan walaupun dalam tempoh yang singkat kurang daripada sebulan untuk mengekang penularan kes Covid-19.
Statistik Jabatan Perangkaan mencatat 405,446 bilangan isi rumah kategori miskin direkodkan selepas semakan semula Had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) kepada RM2,208 tahun lalu, berbanding 16,653 isi rumah menggunakan had RM980 yang dipakai sejak 2005.
Paras gaji minimum yang ditetapkan kerajaan pada waktu ini adalah RM1,200 sebulan untuk wilayah bandar dan RM1,100 luar bandar.
Keadaan dijangka menjadi lebih buruk berdasarkan laporan perangkaan yang menyebut kadar pengangguran negara meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada 4.8 peratus pada suku pertama tahun ini daripada 3.5 peratus tempoh yang sama tahun lalu.
Bilangan penganggur kekal tinggi sejak suku kedua 2020 dengan tambahan 225,000 daripada 547,000 (suku pertama 2020) kepada 772,000 orang pada suku pertama tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, lebih membimbangkan nasib peniaga kecil dan pekerja gaji harian yang bergantung kepada ekonomi domestik sebaliknya sekatan penuh pergerakan hanya menyekat pendapatan mereka menyara kehidupan.
Katanya, pelaksanaan PKP penuh akan menjejaskan usaha enam strategi kerajaan untuk mengawal wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi dirancang selama ini menjadi sia-sia sekali gus negara berhadapan kegawatan ekonomi seperti situasi awal pandemik melanda dunia.
“Paras kemiskinan mungkin bertambah dan jumlah sedia ada ini tidak termasuk lagi golongan T20 dan M40 yang telah jatuh kepada tahap B40 akibat dibuang kerja dan berhadapan perniagaan ditutup.
“Namun selepas sektor ekonomi mula dibuka pada Mei 2020 didapati peluang ekonomi semakin beransur pulih. Namun jika PKP penuh dilaksanakan semula seperti Mac tahun lalu tidak kiralah dalam tempoh dua minggu atau 21 hari, tidak tolak kemungkinan ekonomi negara dan paras kemiskinan akan bertambah teruk,” katanya di sini, semalam.
Cadangan agar kerajaan melaksanakan PKP penuh disarankan beberapa persatuan mewakili pegawai perubatan di negara ini yang mendesak langkah lebih ketat dan drastik dilaksanakan bagi mengekang penularan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat.
Ekoran desakan ramai pihak, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bermesyuarat semalam dan memutuskan untuk melaksanakan PKP 3.0 diperketatkan melibatkan sektor ekonomi dan sosial.
Mengulas lanjut, Madeline berkata, beliau mencadangkan diadakan PKP bersasar sebagai cara penyelesaian paling sesuai dengan menyekat pergerakan di lokasi mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi di samping menutup premis-premis yang merekodkan kes Covid-19.
Selain itu, beliau menggariskan tiga langkah yang perlu dilakukan kerajaan iaitu mempercepatkan program vaksin, memperketatkan penguatkuasaan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan ujian saringan calitan berbanding langkah PKP penuh.
“Namun PKP penuh adalah jalan terakhir tetapi jangan sampai tutup keseluruhan sektor ekonomi, tetapi diteruskan dibuka dengan SOP ketat.
“Jika PKP dilaksanakan sekali pun kerajaan perlu memberikan bantuan kewangan kepada kumpulan memerlukan bantuan seperti golongan rentan, ibu tunggal dan sebagainya. Malah sektor swasta perlu membantu kerajaan untuk mewujudkan dana atau tabung untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti UCSI, Prof. Madya Dr. Pek Chuen Khee berkata, pelaksanaan PKP yang sering berubah bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah juga memberi kesan kepada perhatian pelabur dalam jangka masa pendek.
Katanya, menjadi harapan agar kerajaan tidak mengubah SOP sehingga mengelirukan rakyat dan peniaga.
“Secara keseluruhannya arahan PKP yang tidak menentu akan memberi kesan kepada pelabur terutamanya pelaburan jangka masa pendek berbanding kesannya lebih rendah untuk pelaburan jangka panjang,” ujarnya.
Namun Chuen Kee menjelaskan, menjadi satu kesukaran untuk mengimbangi soal kesihatan dan ekonomi termasuk memperhalusi cadangan PKP penuh di negeri terkesan termasuk di Selangor sendiri sama ada benar-benar serius untuk mengekang penularan Covid-10.
“Lockdown di Selangor amat diperlukan sekiranya kapasiti perubatan dari segi penggunaan katil hospital, pusat kuarantin dan ICU mendekati kapasiti penuh,” katanya. – UTUSAN










