HULU TERENGGANU: Masjid Kampung Butut di daerah ini diarahkan tutup hari ini berikutan dua jemaahnya yang merupakan pasangan suami isteri disahkan positif Covid-19.
Pengerusinya, Dr. Mohd. Ala-uddin Othman berkata, penutupan sementara tiga hari hingga Khamis itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja nyah kuman.
Katanya, sebelum memperoleh keputusan saringan, pasangan suami isteri berkenaan sudah menjalani kuarantin di rumah susulan anak mereka yang terlebih dahulu disahkan positif pandemik itu.
“Kita mohon penduduk setempat tidak menyalahkan mana-mana individu kerana tiada siapa yang mahu perkara sebegini berlaku.
“Setakat ini kira-kira 30 orang sudah menjalani ujian saringan dan kita masih mengumpul serta mengenal pasti individu lain yang terlibat sama ada yang pernah berurusan atau mempunyai kontak rapat termasuk datang ke masjid,” katanya ketika dihubungi.
Arahan penutupan itu dibuat mengikut SubSeksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.
Sehubungan itu, Mohd. Ala-uddin meminta mana-mana individu yang berhubung rapat atau ke Masjid Kampung Butut antara 7 hingga 14 Mei lalu untuk segera menghubungi pihaknya di talian 019-9538213. – UTUSAN ONLINE









