DAP ketengah calon muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15

DAP ketengah calon muda

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP akan mengetengahkan lebih ramai golongan muda untuk menerajui parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

DAP yakin melalui peluang yang diberikan kepada golongan itu, ia berpotensi membentuk mereka menjadi pelapis masa depan menggantikan pemimpin veteran DAP seperti Lim Kit Siang (gambar).

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau bagaimanapun enggan meletakkan sasaran atau peratusan tertentu jumlah golongan muda yang akan diketengahkan pada pilihan raya umum.

Menurutnya, berdasarkan jejak rekod parti itu, DAP jelas sudah memberikan peluang kepada golongan muda termasuk wanita untuk terlibat aktif dalam parti.

“DAP akan terus memberikan peluang kepada golongan ini kerana sekiranya terus diberikan ruang, sudah tentu mereka berpotensi menjadi pemimpin.

“Kalau lihat dari segi wajah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pun, peratusan golo­ngan muda bagi DAP adalah tinggi. Jadi, DAP akan terus memastikan peluang ini ada. Kebolehan mereka untuk menerajui parti juga akan dinilai berdasarkan prestasi kerja,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan calon muda yang akan diketengahkan DAP pada PRU-15 akan datang.

Dalam PRU-14, DAP berjaya meletakkan beberapa pemimpin mudanya sebagai ADUN antaranya Howard Lee Chuan How, 38, sebagai ADUN Pasir Pinji, Perak dan juga Ketua Pemuda DAP manakala Jamaliah Jamaluddin, 32, merupakan ADUN Bandar Utama.

Mordi Bimol, 36, turut berperanan sebagai Ahli Parlimen Mas Gading, Sarawak selain bertindak sebagai Naib Pengerusi DAP negeri itu.

Bulan depan, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bakal beralih kepimpinan kerana Guan Eng berada pada penggal terakhir­nya sebagai Setiausaha Agung selaras dengan peruntukan perlembagaan parti selepas 17 tahun menjawat tugas besar itu.

Timbul cakap-cakap Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke bakal menggantikan Guan Eng melihat bekas Menteri Pengangkutan itu memang dilatih untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

Ketika ditanya soal itu, Guan Eng bagaimana enggan me­ngakui individu tertentu bagi memegang jawatan tertinggi parti sebaliknya menyerahkan kepada keputusan pemilihan CEC DAP nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN