Cegah 900 jenis dadah tembusi pasaran gelap - AADK

Cegah 900 jenis dadah tembusi pasaran gelap

DR. SABRI ZAINUDIN ZAINUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat lebih kurang 900 jenis dadah dari luar negara mampu menembusi pasaran gelap di negara ini jika tiada langkah pencegahan awal dilakukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa yang membimbangkan, dadah tersebut diproses dan dicampurkan dengan pelbagai bahan lain seperti racun tikus, minuman keras serta ubat selesema dan mampu memberi kesan khayal dan kesan sam­pingan lain kepada penagih.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dr. Sabri Zainudin Zainul (gambar) berkata, proses pembuatan pada masa kini juga mudah diperoleh iaitu menerusi saluran lain termasuk YouTube.

Beliau memberitahu, perkara itu juga turut menyumbang kepada kemunculan pelbagai jenis dadah lain.

Menurutnya, apa yang me­nimbulkan persoalan adakah ke­semua dadah baharu terbabit mampu dikesan dalam kalangan pengguna, sekali gus mendakwa mereka yang terbabit?

“Ketika ini pun ada muncul dadah baharu. Saya ambil contoh syabu tulen dicampur de­ngan minuman keras dan ubat selesema atau apa sahaja bahan yang boleh mendatangkan unsur khayal. Maka terbentuk satu jenis dadah.

“Ini semestinya bahaya ke­rana beri kesan sampingan yang kita sendiri tidak jangka.

“Begitu juga dengan pil ku­da. Ada yang buat dengan memasukkan dalam ketuhar dan campurkan bahan lain seper­ti racun tikus, kemudian keluarkan produk baharu. Bahan campurannya pelbagai. Jadi kita nak charge bawah akta apa? Inilah cabaran baharu pada kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Sabri, masalah dadah di negara ini semakin serius dengan nisbah pada masa kini 100 rakyat bersamaan seorang penagih.

Katanya, ada penagih dadah seawal sekolah rendah dikesan terlibat dengan bangsa Melayu mencatatkan bilangan paling ramai iaitu kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) AADK.

“Orang Melayu paling ramai kerana dari segi antropologi kita ada sifat lemah jati diri. Sebab itulah memupuk nilai agama dan kemanusiaan begitu penting dalam kalangan anak-anak kita.

“Nilai tinggi perlu diletakkan. Sebagai contoh dalam Islam tidak boleh makan babi. Jahat macam mana seseorang itu, babi paling pantang. Begitu jugalah kita perlu terapkan dalam dadah atau perkara lain,” jelasnya.

Dalam pada itu Sabri berkata, sebanyak 30 sehingga 35 peratus jumlah penagih yang dimasukkan semula ke pusat rawatan selepas terbabit beberapa kali dengan ketagihan dadah.

“Ada penagih guna peguam dan dimasukkan ke Puspen selama dua minggu sahaja. Selepas itu terus berubah. Ada juga tidak berubah. Kalau letak bidadari sekalipun, jika diri sendiri tidak mahu berubah tiada gunanya.

“Kaedah terbaik ikut cara Islam iaitu merotan (cara Islam). Itu cara terbaik untuk kekang penagihan dadah, ” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN