'Biden dua kali lima dengan Trump' - Utusan Malaysia

‘Biden dua kali lima dengan Trump’

RAKYAT Palestin memeriksa kemusnahan akibat serangan udara Israel di Rafah, selatan Semenanjung Gaza, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perubahan kepimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang sebelum ini diharap membawa sinar baharu kepada Palestin, nampaknya sukar dicapai.

Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali berkata, walaupun pada awal pelantikannya ada tanda-tanda beliau menyebelahi Palestin, tindakan AS menggunakan kuasa veto dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini membuktikan sebaliknya.

Katanya, ini kerana apabila ada usaha untuk mengambil tindakan ke atas Israel, banyak negara Barat yang sering memperjuangkan keadilan dan demokrasi serta hak asasi manusia sentiasa menyebelahi rejim zionis itu.

“Anda bayangkan, sebanyak 14 ahli Majlis Keselamatan PBB setuju menyokong usul diambil ke atas Israel tetapi ia sia-sia apabila diveto oleh AS. Setakat ini saya lihat tidak banyak bezanya kerajaan (Donald) Trump dan Biden,” katanya dalam pertemuan eksklusif dengan Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, semalam.

April lalu, pentadbiran AS di bawah kepimpinan Biden berjanji membawa perubahan dalam konflik Israel-Palestin.

Penyaluran semula bantuan berjumlah AS$235 juta (RM 969.93 juta) kepada penduduk Palestin yang diberhentikan oleh bekas Presiden, Trump menunjukkan permulaan ke arah perubahan itu.

Walaupun usaha berkenaan boleh dianggap sebagai tanda positif ke arah haluan baharu namun beberapa pakar berpandangan masih terlalu awal untuk mengharapkan perubahan signifikan itu berlaku.

Seperti diketahui, Biden lantang mengkritik dasar penempatan haram Israel di tanah Palestin.

Malah, ketika menjadi Naib Presiden AS pada 2016, beliau menzahirkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati terhadap tindakan pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berhubung isu peluasan penempatan haram.

Sepanjang kempen pilihan raya, Biden juga mengulangi hasratnya untuk mempercepat penyelesaian dua negara dan berjanji untuk membuka semula misi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington dan Kedutaan AS bagi hal ehwal penduduk Palestin di Baitulmuqaddis.

Sementara itu, Walid berkata, umat Islam di negara ini bebas menyalurkan bantuan untuk rakyat Palestin melalui saluran yang disediakan oleh Wisma Putra atau melalui mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, beliau tidak pernah menghalang penyaluran sebarang bantuan untuk Palestin atau mengeluarkan arahan agar bantuan mesti dibuat melalui kedutaan.

Katanya, apa yang berlaku adalah salah tafsir tentang kenyataan yang dikeluarkannya pada tahun 2019 sekembalinya bercuti dari al-Aqsa.

“Semasa di Aqsa saya dimaklumkan oleh pengurusan al-Aqsa dan Baitulmaqdis yang mereka juga memerlukan sumbangan sepertimana di Gaza.

“Itu yang saya sampaikan sekembalinya saya bertugas di Malaysia. Saya tiada hak campur tangan atas sumbangan yang rakyat Malaysia salurkan untuk rakyat Palestin. Kami amat-amat menghargainya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Walid mengakui penduduk Gaza amat memerlukan bantuan terutama kewangan daripada saudara-saudara seIslam terutama Malaysia yang telah sekian lama membantu Palestin.

“Cuma tumpuan seluruh umat Islam sepatutnya adalah pembebasan Masjid al-Aqsa dan mengembalikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Selain NGO yang bergerak aktif melancarkan tabung dana bagi membantu Palestin, kerajaan turut mewujudkan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

Malaysia juga adalah penyumbang tetap kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sejak 2015. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya