Artis juga komponen masyarakat - Utusan Malaysia

Artis juga komponen masyarakat

Hans Isaac
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Hans Isaac tidak melihat golongan selebriti yang terlibat dalam politik di negara ini sekadar untuk kepentingan peribadi.

Menurut pelakon dan penerbit itu, bukan status kerjaya yang perlu dipertikaikan tetapi kemampuan seseorang itu membawa perjuangan dalam membentuk sebuah negara yang lebih baik.

“Kita harus melihat dalam aspek yang lebih besar dalam membuat justifikasi mengenai perkara ini. Di negara luar, penglibatan golongan selebriti dalam politik bukanlah sesuatu yang baru malah ada dalam kalangan selebriti luar menjadi ketua bagi sesebuah negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“ Selain itu, perlu juga diingat, dunia politik tidak menggariskan mana-mana bidang sebagai ahlinya dan selebriti juga adalah sebahagian daripada komponen masyarakat yang mempunyai tanggungjawab sosial kepada negara.

“Jadi untuk menjawab soalan ini, kita harus melihat tokoh itu bukan daripada golongan selebriti atau tidak, tetapi dari sudut persepsi perjuangan, visi, ideologi, usaha dan impian individu itu untuk membawa negara ke landasan yang betul dan bukan hanya melihat dari sisi yang negatif,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia kini aktif “berkempen” menggunakan tiket aktiviti kemasyarakatan di sekitar Ampang, Hans menjawab, perkara tersebut sekadar persepsi sahaja.

“Saya ingin tegaskan bahawa program-program kebajikan untuk masyarakat ini bukanlah hanya wujud ketika ini. Ketika saya masih aktif dalam dunia kreatif, aktiviti amal seperti sekarang ini adalah perkara yang kerap saya laksanakan sama ada daripada diri saya sendiri ataupun bersama rakan-rakan. Hanya sejak kebelakangan ini, program-program saya diberikan perhatian dan wujud pelbagai persepsi antaranya melibatkan aspek politik.

“Tidak timbul soal niat saya dalam pelbagai aktiviti ketika ini dikaitkan untuk kempen PRU kerana niat saya adalah untuk berbakti kepada masyarakat dengan kemampuan saya. Yang penting, keutamaan saya bersama Kelab Kita Budak Ampang ketika ini adalah untuk membantu masyarakat yang sangat terkesan akibat Pandemik Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×