500 kenderaan gagal ‘cuba nasib’ balik raya di Kelantan - Utusan Malaysia

500 kenderaan gagal ‘cuba nasib’ balik raya di Kelantan

Wakil rakyat dibenar rentas negeri untuk aktiviti menyantuni rakyat -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Terdesak mahu balik raya, ada individu cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan mencetak dokumen kebenaran rentas negeri tetapi tiada pengesahan mana-mana balai.

Perkara itu dikatakan antara taktik terbaharu yang dikesan sejak semalam namun tetap gagal kerana pemeriksaan ketat di sekatan jalan raya (SJR) yang dibuat di setiap pintu masuk ke negeri ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam tempoh 24 jam, kira-kira 500 kenderaan cuba memasuki negeri ini diarahkan berpatah balik kerana tidak memiliki dokumen sah selain alasan tidak munasabah.

“Taktik baharu kemukakan dokumen rentas negeri tanpa pengesahan balai polis ini kita lihat tindakan cuba nasib tetapi gagal. Sudah ada dua tiga pemandu berkeluarga dikesan berbuat demikian jadi kita arah mereka patah balik.

“Kompaun turut dikenakan kerana mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau tahap kawalan di Bunut Susu, di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) malam tadi.

Yang hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.

Shafien memberitahu, setakat ini pintu masuk Kelantan yang paling sibuk adalah di Gua Musang dan Pasir Puteh.

“Saya telah mengarahkan semua ketua polis di sempadan melakukan pemeriksaan ketat di setiap SJR setiap masa sepanjang musim perayaan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN