42 masjid, surau di Negeri Sembilan ditutup ekoran pengesanan jangkitan Covid-19 - Utusan Malaysia

42 masjid, surau di Negeri Sembilan ditutup ekoran pengesanan jangkitan Covid-19

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hanya tiga buah masjid daripada keseluruhan 301 buah masjid di negeri ini yang ditutup setakat semalam adalah kerana ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sejumlah 42 buah masjid dan surau pula ditutup akibat terdapat jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah yang menghadiri solat fardu, solat Jumaat atau solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Surau yang terpaksa ditutup akibat terdapat jangkitan adalah sebanyak 15 buah daripada sejumlah 1,020 surau seluruh Negeri Sembilan. Laporan dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) ini adalah bermula daripada Januari sehingga Mei 2021.

“Terdapat masjid dan surau yang ditutup kembali beroperasi seperti biasa. Hal ini kerana masjid dan surau yang ditutup akibat terdapat jangkitan Covid-19 adalah selama tujuh hari sehingga 14 hari berdasarkan nasihat Pusat Kesihatan Daerah (PKD), manakala akibat pelanggaran SOP penutupan sekurang-kurangnya tujuh hari,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook miliknya.

Sementara itu, menurut beliau, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, kerajaan negeri mengambil pendekatan mesra jemaah dengan membenarkan semua masjid dan surau menjalankan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah.

“Sejak itu, masjid dan surau terus dibenar diimarahkan mengikut kapasiti masjid dengan penjarakan serta pematuhan SOP ditetapkan.

“Barisan penguat kuasa JHEAINS serta seluruh ahli jawatankuasa masjid dan surau telah sedaya upaya memastikan pematuhan jemaah terhadap SOP yang telah ditetapkan. Hormatilah mereka yang menjalankan amanah demi kebaikan bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya