145,173 panggilan bantuan sokongan psikososial diterima

145,173 panggilan bantuan sokongan psikososial diterima

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 145,173 panggilan diterima Talian Bantuan Sokongan Psikososial sepanjang tempoh operasi talian itu daripada 25 Mac tahun lalu sehingga 20 Mei lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, 85.5 peratus adalah melibatkan isu-isu berkaitan kesihatan mental yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling seperti stres akut, keresahan, kemurungan, penderaan, dan tingkah laku bunuh diri.

“Antara punca-punca yang dikenal pasti adalah hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma dan kurang akses kepada perkhidmatan bantuan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Adham berkata, data Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati dalam tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, sejumlah 1,080 kes cubaan bunuh diri telah dilaporkan menerima rawatan di hospital KKM.

Beliau berkata, menyedari masalah kesihatan mental yang dijangka berpanjangan, kementerian telah mengambil inisiatif memperluaskan perkhidmatan kaunseling dengan menempatkan tambahan seramai 200 pegawai psikologi (kaunseling) kontrak untuk memberikan perkhidmatan kesihatan mental di daerah dan klinik kesihatan.

Menurutnya, KKM juga akan terus melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani permasalahan mental yang kian meningkat antaranya mempergiatkan advokasi Kempen Let’s TALK Minda Sihat dan memastikan pelaksanaan aktiviti-aktiviti Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Ia termasuklah meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan mental, pencegahan keganasan dan penyalahgunaan substans serta alkohol melalui sistem digital dan teknologi terkini secara kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Selain itu, Adham berkata, KKM akan meneruskan platform talian sokongan psikososial dan perkhidmatan konsultasi secara virtual serta menggunakan aplikasi digital dan media sosial sedia ada untuk mempromosikan kesihatan mental kepada kumpulan sasar.

KKM juga, katanya akan memperluaskan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) serta meningkatkan liputan perkhidmatan kaunseling di peringkat daerah serta klinik kesihatan.

“Seterusnya ialah mempertingkatkan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental melalui penambahan sebanyak 40 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) kepada 28 buah pusat sedia ada menjelang 2025.

“Di samping itu, KKM akan bekerjasama dengan NGO bagi memberi latihan kepada pemberi khidmat kesihatan, kaunselor agensi, sukarelawan dan caregivers,” katanya.

Pada masa sama, Adham menyeru masyarakat agar bertenang dan positif dalam menghadapi situasi pandemik yang masih berterusan ini.

“KKM ingin mengingatkan orang ramai untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN