Warisan intai sekutu bentuk gabungan - Utusan Malaysia

Warisan intai sekutu bentuk gabungan

Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Susulan berakhirnya kerjasama politik antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH), parti itu kini sedang cuba membentuk gabungan politik baharu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong berkata, pihaknya akan menilai keikhlasan dan kesetiaan parti yang akan bergabung dengan Warisan kerana tidak mahu perkara sama berulang.

Beliau tidak mahu gabungan atau pakatan yang dibentuk sebelum pilihan raya berpecah selepas pilihan raya hingga mendatangkan ketidakstabilan politik di negara ini.

“Sudah banyak pengajaran yang dilihat daripada UMNO-BN, Pas dan PH, ini semua mengajar kita untuk lebih berhati-hati dalam membentuk gabungan.

“Kita belajar daripada yang berlaku dalam PH, selepas menang PRU, timbul masalah kerana tiada kesetiaan dalam gabungan. Begitu juga dengan UMNO-BN dan Pas-UMNO yang sudah membentuk Muafakat Nasional (MN) tetapi kini, Pas meninggalkan UMNO.

“Pas mengambil tindakan yang pentingkan diri demi kelangsungan politik. Atas sebab itu dalam kesepakatan kena ada prinsip dan keikhlasan antara parti-parti gabungan.

“Berbeza dengan Warisan, walau tidak berjaya membentuk kerajaan pada peringkat Sabah namun, kita berpegang kepada prinsip kesetiaan kerana itu melambangkan identiti kita agar rakyat terus meletakkan keyakinan kepada kita pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Jaujan berkata, Warisan belum memutuskan dengan parti mana mereka akan membentuk gabungan kerana perkara itu perlu dibincangkan bukan hanya oleh majlis tertinggi tetapi juga pada peringkat cawangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan itu memberitahu, semua suara dan pandangan pimpinan Warisan akan diberikan perhatian sebelum membentuk gabungan politik baharu untuk berdepan PRU-15.

“Setakat ini belum ada perbincangan konkrit dengan mana-mana parti. Dalam mesyuarat majlis tertinggi juga belum dibincangkan oleh Presiden Warisan,” katanya.

Jaujan memberi gambaran bukan mudah untuk mengetuai sesebuah gabungan politik kerana semua pihak mempunyai pemikiran sendiri. Apa yang penting ketika ini adalah mendapatkan sokongan rakyat.

Menyentuh tentang kemungkinan bekerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Jaujan berkata, semua parti mempunyai agenda tersendiri.

“Sekiranya Pejuang sudah didaftarkan secara rasmi, mereka akan berfikir bahawa jika hanya Pejuang, mereka tidak akan dapat membentuk kerajaan maka, sudah tentu mereka akan lihat dengan siapa akan bergabung dengannya. Begitu juga Muda dan Warisan,” katanya.

Dalam PRU-14, Warisan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan sebelum Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak keluar daripada PH pada 24 Februari 2020 untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan UMNO-BN dan Pas. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×