PETALING JAYA: Hajat seorang wanita menggayakan tudung disulam batu Swaroski berharga RM75,000 pada 1 Syawal ini bakal menjadi kenyataan apabila butik Bawal Exclusive sudah menyiapkan tempahan tersebut.
Pembeli tersebut adalah seorang pengusaha restoran makanan laut di Kelantan berusia 30-an.
Bercakap dengan Mingguan Malaysia, pemilik dan pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berkata, sebenarnya tempahan itu diterima tahun lalu dan pelanggan ketika itu mahu menggayakan pada Aidilfitri tahun tersebut.
Namun, menurut beliau, akibat pandemik Covid-19, pelanggan berkenaan menunda niatnya ke tahun ini.
“Hajat pelanggan kami akan tertunai pada raya Mei ini kerana wanita itu sudah membuat temu janji untuk mengambil tempahan beliau minggu ini,” kata Haliza ketika ditemui di butiknya di Puchong baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Haliza berkata, usahawan muda itu meminta rekaan berlatarkan warna biru lembut iaitu bermotifkan kehidupan laut yang bersesuaian dengan tema kerjayanya sebagai pengusaha restoran makanan laut.
Jelas pemilik butik itu, reka corak tudung itu kemudian direka khas oleh pereka profesional dari syarikat batu Swaroski di Austria iaitu Megan Carte yang berpengalaman lebih 30 tahun.
“Pereka kami itu telah reka corak tersebut berdasarkan kehendak pelanggan. Kami membuat panggilan video dan pelanggan dapat menjelaskan keinginannya terus kepada pereka.
“Setiap susunan batu Swaroski akan ditampal mengikut rekaan Carter dan kami juga hanya membenarkan seorang staf yang berpengalaman 18 tahun menguruskan tugasan tersebut,” katanya.
Menurut Haliza, setiap tudung rekaan `mewah’ mengambil masa satu hingga tiga bulan untuk disiapkan.
“Tempoh masa lama itu adalah bagi memastikan kesempurnaan tudung yang mencecah puluhan ribu ringgit.
“Pembuatan tudung mewah Bawal Exclusive itu melibatkan proses-proses yang rumit dan tidak semua mampu untuk menghasilkannya,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh pandemik perniagaan tudung dari butiknya turut terjejas tetapi tidak seburuk perniagaan lain.
Tudung-tudung yang direka butik Bawal Exclusive sangat popular sehingga pernah tular di laman sosial kerana mampu menjual sehelai tudung dengan harga RM100,000.- MINGGUAN










