Steven Sim dakwa teruk difitnah isu 'rider' Foodpanda

Steven Sim dakwa teruk difitnah isu ‘rider’ Foodpanda

ANAS Hazmi Ahmad menunjukkan geran motosikal yang tertera namanya dalam sidang akhbar bersama Steven Sim di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. - FOTO/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Selepas hampir dua minggu isu pemberian motosikal kepada seorang penghantar makanan tular dalam media sosial, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim akhirnya tampil menjelaskan keadaan sebenar. 

Menurut Sim, dia terpaksa merahsiakan identiti penghantar makanan tersebut iaitu Anas Hazmi Ahmad, 22, atas permintaan lelaki itu sendiri yang enggan isu berkenaan ‘dipolitikkan’. 

“Saya sebenarnya memilih untuk tidak mahu menjawab (isu pemberian motosikal) itu sebelum ini, namun saya terpaksa berbuat demikian sekarang kerana fitnah ini semakin melampau. 

“Saya hanya menghormati penerima bantuan (Anas Hazmi) yang tidak mahu identitinya didedahkan kepada umum tapi saya pula difitnah macam-macam,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Anas Hazmi di sini.

Kontroversi pemberian motosikal itu tular selepas beberapa pengamal media dan netizen dilaporkan gagal ‘menjejaki’ Anas Hazmi yang diperkenalkan sebagai ‘Mohamad’ oleh Sim dalam beberapa hantaran yang dimuat naik ke dalam laman Facebook beliau sebelum ini. 

Isu itu berpanjangan apabila pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff tampil menawarkan wang tunai sebanyak RM2,000 kepada sesiapa yang boleh memberikannya maklumat lanjut tentang ‘Mohamad’.  

Mengulas lanjut, Sim mengakui dia memang memperuntukkan sekitar RM4,000 sahaja untuk membeli motosikal jenis Honda Dash 125 kepada Anas Hazmi dan wang selebihnya disumbangkan oleh penderma lain yang enggan dikenali. 

Justeru, dia hairan bagaimana ada pihak yang memuat naik geran motosikal palsu di dalam Facebook yang kononnya dimiliki oleh seorang lelaki berbangsa Cina susulan pembelian motosikal berkenaan. 

Pada masa sama, Sim juga mendakwa hairan apabila isu Anas Hazmi gagal ‘dijejaki’ timbul sedangkan pemuda tersebut turut dihampiri oleh pemimpin politik lain untuk menghulurkan bantuan selepas isu berkenaan tular. 

“Saya adalah ahli Parlimen dan sekarang Parlimen tak boleh bersidang. Jadi, saya melakukan kerja saya dengan memberi bantuan. 

“Tapi apabila saya beri bantuan, ini pula yang terjadi. Saya tidak pernah menyerang mana-mana parti politik, tak pernah sebut kerajaan gagal atau parti mana gagal. Jadi, mereka bukan mahu mencari kebenaran, namun, mencari peluang untuk menyerang saya sahaja,” katanya yang mengakui sedih apabila kerja-kerja kebajikannya dipolitikkan pihak tertentu. 

Dalam pada itu, Anas Hazmi juga mendakwa terkesan dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap dia dan Sim sehingga kini. 

“Saya terkilan kerana ada pihak yang sanggup tawarkan wang sebanyak RM2,000 seperti saya seorang penjenayah sedangkan saya tak buat apa-apa pun terhadap mereka,” katanya yang merayu agar segala gangguan terhadap dirinya dan keluarga dihentikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya