PETALING JAYA: Kes ketirisan dan penyelewengan membabitkan kakitangan awam adalah terpencil dan tidak menggambarkan imej keseluruhan sektor awam.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, adalah tidak wajar kakitangan awam dipersalahkan sepenuhnya berhubung isu kartel tender kerajaan.
Sebaliknya, menurut beliau, kerajaan perlu menubuhkan pangkalan data di setiap kementerian sebagai rujukan kepada setiap syarikat yang mahu mengemukakan tender berhubung projek kerajaan.
“Ini bagi memastikan syarikat ada latar belakang bersih termasuk pengarah selain mempunyai kewangan baik sahaja yang layak memohon tender kerajaan.
“Syarat lain perlu diperketatkan termasuk had bagi sesebuah syarikat memperoleh tender untuk melaksanakan projek kerajaan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan wang tunai berjumlah RM3.5 juta hasil diperoleh seorang ketua sindiket bergelar Datuk selepas terlibat dalam kartel projek kerajaan.
Selain wang tunai yang dirampas di rumah Datuk berkenaan, beberapa kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta turut disita.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pangkalan data di semua kementerian perlu dikaji supaya masalah sama tidak berulang pada masa hadapan.
” Kelemahan ini secara tidak langsung boleh memberi implikasi kepada imej kerajaan pada masa akan datang, walhal bukan semua kakitangan kerajaan yang membuat onar.
“Untuk menyalahkan kakitangan kerajaan semata-mata tidak adil dan kita perlu melihat dalam aspek keseluruhan,” kata beliau. – UTUSAN











