Sedekad yang penuh cabaran - Utusan Malaysia

Sedekad yang penuh cabaran

EAIC kini tidak lagi menjalankan siasatan terhadap aduan yang remeh sebaliknya mengutamakan kes salahlaku integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 1 April lalu, sedekad penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Banyak telah tercapai dalam 1 dekad yang lalu. Sepanjang tempoh itu, EAIC menerima sebanyak 5,237 aduan terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan. EAIC membuka sebanyak 4,483 fail aduan. Sehingga 31 Mac lalu, EAIC menyelesaikan dan menutup sebanyak 4,100 fail aduan. EAIC juga membuka 1,035 fail siasatan dan sehingga kini, 837 kes telah diselesaikan.

EAIC ditubuhkan di bawah Akta 700 sebagai agensi yang melaksanakan fungsi badan pengawasan integriti di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan. Peranan utama EAIC adalah untuk menerima aduan daripada orang awam mengenai salah laku seseorang pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan, serta merumuskan dan mengadakan mekanisme bagi mengesan, menyiasat dan mencegah salah laku.

EAIC mengawal selia 21 buah agensi penguatkuasaan meliputi lebih 210,000 pegawai dan kakitangan. Adalah amat mustahil, bagi EAIC yang sebegitu kecil dengan perjawatan seramai 78 orang dan bajet RM8 juta setahun untuk mengawal selia integriti agensi-agensi yang sebegitu besar dan berkuasa.

Penyelesaian konvensional kepada masalah ini ialah perbesarkan EAIC. Namun demikian, sekiranya diperbesarkan EAIC 10 kali ganda, menjadi 780 orang atau bajet sebanyak RM80 juta setahun, kita masih akan menghadapi isu-isu yang kita hadapi sekarang.

Oleh itu bergerak ke hadapan, EAIC perlu membulatkan azam dan menguatkan tekad untuk memberi fokus kepada isu-isu yang penting yang mana EAIC boleh membuat perbezaan. Mengambil kira kekangan yang dihadapi, EAIC tidak boleh dan tidak mampu untuk memberi penekanan yang sama kepada semua kes. Kalau EAIC berbuat demikian, ia ibarat hanya melepas batuk di tangga. Dan dari segi integriti melaksanakan tanggungjawab pada fikiran saya ianya adalah satu pelepasan tanggungjawab (“abdiction of responsibility”). Maka adalah lebih baik bagi EAIC menggunakan sumber yang terhad untuk isu-isu yang penting, mempunyai merit dan memberi kesan yang besar.

Sehubungan dengan ini, isu-isu yang kecil dan remeh perlu ditangani dengan cara lain. Adalah sangat banyak aduan diterima EAIC tentang apa yang dikatakan kebiadapan atau layanan kasar oleh pegawai penguat kuasa terhadap orang awam terutamanya di kaunter-kaunter perkhidmatan, di pelbagai agensi penguatkuasaan.

Setelah diselidiki, didapati ia melibatkan pegawai meninggi suara. Ada kalanya pengadu sendiri mengaku mereka respons dengan turut meninggikan lagi suara mereka sendiri.

Penafsiran biadab atau layanan kasar ini agak subjektif dan sukar serta tidak adil untuk menghukum seseorang penguat kuasa hanya kerana aduan yang dibuat oleh sesetengah individu tanpa menjalankan siasatan terperinci. Walaupun kita perlu meletakkan diri di kedudukan pengadu, EAIC juga perlu berlaku adil kepada pihak yang diadukan. Siasatan yang dijalankan akan mengambil masa dan pada hemat saya, adalah lebih baik sumber EAIC digunakan bagi kes-kes yang lebih serius.

Oleh yang demikian, EAIC secara umumnya mengambil pendekatan untuk tidak lagi menjalankan siasatan terhadap aduan-aduan yang bersifat frivolous or vexatious in nature; yang remeh atau menyusahkan kerana aduan-aduan tersebut tidak memberi nilai tambah yang tinggi kepada mutu perkhidmatan. Malah adalah lebih praktikal untuk mengadakan kempen berterusan, supaya penjawat awam memberi perkhidmatan dengan senyuman.

EAIC juga menerima aduan-aduan mengenai salah laku rasuah berkaitan pegawai penguat kuasa. EAIC berpendapat kes-kes seperti ini, lebih baik diserahkan kepada SPRM yang lebih kompeten untuk membuat satu penyiasatan yang wajar.

Aduan yang bersifat pentadbiran (contoh tidak puas hati arahan dalaman pentadbiran seperti arahan pertukaran dan tidak dinaikkan pangkat) pula dan berkenaan tata kelakuan dan di mana setelah diteliti  kesalahan tatatertib dapat dizahirkan, aduan itu akan dipanjangkan untuk diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) agensi yang berkenaan.

Apabila ditolak kes-kes remeh, kes-kes rasuah dan kes-kes disiplin maka kes-kes yang perlu dibuat siasatan oleh EAIC akan berkurangan. Pun begitu, terdapat juga Unit Integriti Agensi Penguatkuasaan membuat penyiasatan terhadap kes-kes yang juga diadukan kepada EAIC.

Ini bermakna EAIC bukanlah bekerja berseorang diri mengenai integriti. Orang lain dan jabatan lain juga turut bekerja. Adalah amat penting untuk EAIC bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC sebagai senjata ampuh bagi mencapai sasarannya. EAIC to work through others and with others. Lebih-lebih lagi Akta 700 hanya memberikan kuasa kepada EAIC untuk membuat pengesyoran tetapi hanya agensi penguatkuasaan melalui Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) masing-masing mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman.

Selain daripada menangani aduan-aduan yang wajar, EAIC akan menumpukan perhatian terhadap fungsi-fungsi lain yang diperuntukkan di bawah Akta 700. EAIC akan mengkaji secara mendalam isu-isu yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan dan mengesyorkan penyelesaian jangka panjang untuk menghapuskan masalah-masalah berkaitan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kejadiannya.

Sehubungan dengan ini, EAIC akan menjalankan kajian menyeluruh dan mendalam mengenai Isu Kematian Dalam Tahanan. EAIC akan menggerakkan kolaborasi bersama organisasi-organisasi berkepentingan dari agensi-agensi perkhidmatan awam dan juga badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan suara dan kehendak setiap organisasi berkepentingan yang wajar akan diambil kira.

Integriti sememangnya merupakan tanggungjawab setiap individu. Dan perkara paling utama adalah kita sendiri harus menjauhkan diri daripada salahlaku integriti. Integriti perlu menjadi teras budaya kerja kita semua. Adalah menjadi idaman agar tahap integriti agensi penguatkuasaan mencapai satu kedudukan yang tinggi, di mana integriti sudah menjadi teras budaya kerja semua!

TAN Sri Sidek Hassan ialah Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×