Rasuah polis seperti turun-temurun - Utusan Malaysia

Rasuah polis seperti turun-temurun

DUA anggota polis yang dituduh menyeludup seramai 27 PATI dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani beberapa bulan lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Isu rasuah dalam sektor pekerjaan diakui sukar dibendung walaupun pelbagai usaha menanganinya termasuk memperkasakan hukuman sedia ada dan melakukan pelbagai program kesedaran bagi mengatasinya.

Perkara ini diakui dua bekas Ketua Polis Negara iaitu Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor.

Mereka berkata, masalah membabitkan pegawai dan anggota polis terutama rasuah berlaku seperti turun-temurun.

Bahkan, isu tersebut dilihat semakin membarah selain boleh mencalar reputasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika terus dibiarkan.

Malah, banyak pihak melihat isu tidak berkesudahan ini mampu mengikis kepercayaan masyarakat dan menimbulkan persepsi buruk kepada agensi yang dipertanggungjawab menjaga ketenteraman awam.

Musa yang menyifatkan tindakan terbaik yang boleh dilakukan ialah memantau lebih serius keseluruhan peringkat perjawatan PDRM terutamanya pegawai atasan.

“Isu rasuah dan salah saku pegawai dan anggota sememangnya wujud sejak dahulu lagi dan tidak akan habis kerana kita hanya manusia biasa, bukannya malaikat.

“Yang penting orang atas tidak terlibat (rasuah). Penting juga kita kena membetulkan sikap dan tingkatkan ketahanan diri. Kursus motivasi untuk pertingkatkan perkhidmatan juga perlu diadakan sekerap mungkin,” kata beliau kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Beliau mengulas pendedahan Utusan Malaysia berhubung 34 anggota dan pegawai polis termasuk Deputi Superintenden Polis (DSP) dan Asisten Superintenden Polis (ASP) yang disyaki menjadi tali barut kepada beberapa kumpulan jenayah terancang.

Tambah Musa, soal integtiri dan salah laku dalam PDRM perlu ditangani Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) tanpa membabitkan pihak lain termasuk jawatankuasa khas yang berada diluar perkhidmatan itu.

“Jika ada jawatankuasa sekalipun adakah ahlinya berintegriti?Jika dia pun tidak betul tiada guna juga,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Rahim pula berkata, masalah berkaitan salah laku membabitkan anggota penguatkuasaan tidak mampu ditangani sepenuhnya walaupun pelbagai pendekatan diambil.

“Isu ini telah wujud sejak PDRM ditubuhkan lagi. Kita tidak akan dapat membanteras sepenuhnya dengan apa jua cara sekalipun.

“Kerana apa? Kerana ia tetap wujud selagi mana mereka bergelar manusia. Namun begitu sejauh mana dan berapa banyak ia dapat dihindari bergantung kepada susunan pentadbiran dan tahap pengawasan serta pemantauan,” jelasnya.

Tambah Abdul Rahim, pucuk kemimpinan perlu melihat perkara ini secara serius dan melakukan pemantauan secara kerap tanpa berkompromi bagi memastikan maruah PDRM terus terjaga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×