Ramai ditahan cuba rentas negeri, PKPD lima kawasan di Pekan

Ramai ditahan cuba rentas negeri, PKPD lima kawasan di Pekan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam turun lagi dengan hanya 64 individu diberkas berbanding 92 individu dicekup kelmarin dan 95 orang ditahan Isnin lalu.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 59 dikompaun manakala lima lagi direman dengan kes tertinggi iaitu cubaan merentas negeri sebanyak 32 kes.

Katanya, ini diikuti tiga lagi kesalahan lain iaitu tiada memakai pelitup muka (19), gagal merekod butiran diri melalui aplikasi MySejahtera (10) dan tidak mematuhi penjarakan fizikal (tiga).

“Seramai 37 pendatang asing tanpa izin ditahan selain 16 lagi diusir melalui Operasi Benteng dengan 171 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 650 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarah menjalani proses mandatori tersebut di sejumlah stesen kuarantin.

Katanya, sejumlah 7,493 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 74 hotel serta lapan institusi lain dengan 1,302 individu daripadanya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 158,504 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Menurut Ismail Sabri, jumlah pekerja asing positif Covid-19 setelah saringan wajib di seluruh negara semalam naik lagi kepada 37 berbanding 11 orang kelmarin dan cuma tiga orang Isnin lalu.

“Sejumlah 1,306 pekerja warga asing menjalani proses itu semalam dan secara kumulatif seramai 677,690 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu sejak 1 Februari lalu melibatkan penyertaan sejumlah 35,066 majikan

“Daripada jumlah tersebut hanya 10,199 pekerja warga asing disahkan positif manakala selebihnya pula iaitu seramai 667,491 orang lagi adalah negatif,” katanya. 

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula, Ismail berkata, tiga kawasan taman perumahan dan dua perkampungan di Daerah Pekan, Pahang, bakal dikenakan PKPD mulai esok hingga 22 April ini

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku penularan Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

“Lokaliti itu ialah Taman Mentiga Jaya, Taman Perdana, Taman Sepekan Makmur, Kampung Pulau Serai dan Perkampungan Peramu Jaya 3,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Kesemua lokaliti ini melibatkan Kluster Teknologi Peramu Jaya yang membabitkan pekerja kilang dengan 67 kes positif direkodkan daripada sejumlah 495 ujian saringan dilaksanakan.

Kluster itu dikesan daripada saringan seorang individu bergejala pada 30 Mac lalu dan meliputi para pekerja sebuah kilang terletak di Kawasan Perindustrian Peramu Jaya, Pekan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya