Ramadan: Melaka niaga depan rumah, Kedah tepi jalan - Utusan Malaysia

Ramadan: Melaka niaga depan rumah, Kedah tepi jalan

RAMAI yang mula berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung kehidupan akibat terkesan penularan pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka buat kali kedua pada tahun ini bercadang memberi kelonggaran kepada rakyat negeri ini untuk berniaga di depan rumah sepanjang Ramadan ini.

Kerajaan negeri merancang memberi kelonggaran tersebut bagi menambah pendapatan rakyat menerusi aktiviti perniagaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, ini kerana walaupun operasi bazar Ramadan dibenarkan tetapi semua negeri terikat dengan penjarakan sosial sehingga 1.5 meter bagi setiap gerai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Prosedur operasi standard (SOP) tersebut menyebabkan tapak berniaga di bazar Ramadan berkurangan.

“Melihat kepada masalah itu, kerajaan negeri merancang untuk membenarkan peniaga yang tidak mendapat tapak berniaga di bazar mereka boleh berniaga di hadapan rumah,” kata beliau selepas Sambutan Ulang Tahun RTM ke-75 di Auditorim RTM Melaka di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Penyiaran Melaka, Mohd. Yusni Mohammed Ali dan Timbalannya, Fitri Al-Ibni Nadzri.

Menurut beliau, kelonggaran tersebut diberikan sama seperti tahun lalu iaitu ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali pertama.

“Contoh kalau dahulu, satu bazar Ramadan boleh memuatkan sampai 200 gerai namun dengan penjarakan 1.5 meter pada musim Covid-19, jumlah peniaga boleh berkurang sehingga tinggal 75 peniaga.

“Kerajaan negeri tidak dapat memperbesarkan tapak bazar Ramadan atas faktor-faktor keselamatan terutamanya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, jadi kita rancang untuk benarkan peniaga berniaga di depan rumah sama seperti tahun lepas,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pada tahun ini, umat Islam dibenarkan menunaikan solat sunat Tarawih di masjid dan surau di seluruh negara sepanjang Ramadan yang dijangka bermula 13 April ini.

Selain itu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan juga membenarkan operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, inisiatif tersebut diambil berikutan menyedari impak pandemik yang menjejaskan pendapatan rakyat.

“Walaupun mereka tidak boleh berniaga di bazar, mungkin boleh berniaga di depan rumah. Kalau tak dapat juga jangan putus asa, boleh berniaga depan rumah.

“Berniagalah di mana sahaja, jangan hanya tumpu bazar Ramadan sebab tempat terhad,” jelasnya.

Setakat ini, hanya Melaka mengumumkan peniaga dibenarkan berniaga di depan rumah manakala negeri-negeri lain meneruskan perniagaan tersebut di tapak-tapak bazar.

Sementara itu, di Kedah, kerajaan negeri membenarkan peniaga dan penjaja yang tidak mendapat tapak niaga di bazar beroperasi di tepi jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, ini berikutan operasi bazar Ramadan di negeri itu akan beroprasi dengan kapasiti peniaga kurang 50 peratus berbanding tahun sebelum ini.

Susulan itu, menurut beliau, pihaknya mengambil maklum ramai peniaga yang gagal mendapat permit untuk berniaga di bazar ekoran pengurangan jumlah tapak gerai.

“Ini sudah ditetapkan kerana kita tidak mahu sesebuah bazar itu menjadi terlalu sesak dengan peniaga dan orang ramai.

“Penyelesaiannya kerajaan negeri membenarkan mereka berniaga di kawasan bebas berniaga dengan lesen yang mereka pohon daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.

“Mereka perlu merujuk dengan PBT untuk berniaga di kawasan yang bersesuaian dan perlu mematuhi SOP,” kata Mohd. Hayati di sini semalam.

Jelas beliau, PBT di kawasan berkenaan perlu menyediakan pengawal yang akan mengawasi operasi perniagaan agar setiap peniaga dan pengunjung mematuhi SOP.

Dalam pada itu jurucakap Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berkata, sebanyak 284 tapak gerai akan dibuka di tiga bazar Ramadan di bandar ini bermula 1 Ramadan ini.

Menurutnya, tiga bazar Ramadan yang dibenarkan ialah Bazar Ramadan Stadium Darul Aman (190 gerai), Bazar Ramadan Simpang Kuala (42 gerai) dan Bazar Ramadan Jalan Putra (52 gerai).

“Jumlah tapak gerai yang dibuka pada tahun ini di tiga bazar berkenaan berkurangan 50 peratus berbanding tahun sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×