Peniaga tak setuju harga maksimum ditetapkan kerajaan - Utusan Malaysia

Peniaga tak setuju harga maksimum ditetapkan kerajaan

MUHAMMAD Taufiq Meor Saradi menyusun ayam segar di kedainya di Pasar Awan Batu Gajah, ketika tinjauan hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Peniaga tidak setuju dengan harga ayam standard ditetapkan pada RM7.90 sekilogram di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP) yang bermula hari ini berbanding RM7.50 sekilogram pada SHMMP tahun lalu.

Tinjauan di Pasar Awam Batu Gajah mendapati rata-rata peniaga ayam berasa serba salah untuk menjual ayam pada harga yang mahal namun terpaksa akur dengan harga maksimum yang ditetapkan.

Menurut peniaga ayam di pasar itu, Azwa Abdul Malek, 49, setiap kali musim perayaan, kerajaan akan menetapkan harga kawalan dan peniaga akan mengalami kerugian.

“Kami bukan tidak mahu patuh harga yang ditetapkan, tetapi, kami membeli ayam daripada pembekal pada harga yang tinggi, bagaimana kami hendak menjual dengan harga yang murah?

“Kami beli ayam dengan harga RM6.30 sekilogram dan menjualnya dengan harga RM7.90. Jika dikira untung kasar kami hanya RM1.60, kami juga perlu membayar bil utiliti seperti sewa, air dan elektrik,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Taufiq, 24, berkata, selain kos utiliti, kos upah pekerja juga perlu diambil kira.

Katanya, mereka menjual ayam proses, bukannya ayam sejuk beku yang mana berat ayam akan berkurang selepas disembelih dan dibuang bulu.

Taufiq berkata, ada pembeli yang merungut harga ayam mahal, tetapi peniaga tidak boleh buat apa-apa kerana bukan mereka yang tentukan harga.

“Jika dibandingkan dengan harga kawalan ayam tahun lalu, ayam standard dijual dari pembekal RM4.80 dan kerajaan tetapkan harga RM7.50, perbezaannya RM2.70, jadi dengan harga itu kami boleh mendapat sedikit keuntungan,” katanya.

Katanya, alasan ayam naik harga yang diberikan pihak pembekal dan peladang ialah harga makanan ayam meningkat.

“Kami juga tersepit dengan rungutan dari pembeli. Harga kawalan yang ditetapkan dan keuntungan perniagaan kami, bukan tak boleh bersedekah, kami juga perlu menampung kehidupan seharian.

“Kami minta pihak ladang menurunkan sedikit harga kepada pembekal dan jika begitu kami boleh mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, peniaga berkata, mereka tidak mengalami masalah dalam stok bekalan ayam.

Mereka meminta kerajaan melakukan tinjauan kepada pembekal dan penternak yang meletakkan harga yang tinggi kepada peniaga seperti mereka.

“Perkara itu perlu dipandang serius berikutan pembekal dan penternak mendakwa kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan isu makanan ayam ternakan yang tidak mencukupi,” kata peniaga. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya