ARAU: Kekuatan dan sejauh mana Muafakat Nasional (MN) mampu bertahan bergantung kepada kepercayaan dan kejujuran dua parti terbesar orang Melayu Islam itu bukan sekadar retorik penyatuan semata-mata.
Sudah terang lagi bersuluh, hubungan Pas dan UMNO kini diibarat retak menanti belah apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi bayangan akan meninggalkan MN kerana mendakwa ia sudah menyeleweng daripada matlamat asas sebaliknya meminta semua menyertai Perikatan Nasional (PN).
Malah, ia bukan sesuatu yang mengejutkan apabila melihat kepada sejarah hubungan Pas dengan mana-mana parti atau gabungan sebelum ini tidak pernah kekal lama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, sudah tiba masa UMNO atau Barisan Nasional (BN) pandang ke hadapan mencari gandingan baharu atau bergerak sendirian menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, Pas dilihat jelas untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).
“Untuk melihat UMNO bersama Pas bergantung kepada sejauh mana kejujuran dan kepercayaan antara kedua-dua parti itu. Melihat kepada situasi sekarang, Pas nampaknya tetap akan bersama Bersatu.
“Malah, laungan penyatuan sebelum ini dilihat sebagai retorik semata-mata dan di dalam politik sebaiknya tidak perlu menggunakan retorik agama dan bangsa. Jika nawaitu itu betul, hubungan kedua-dua parti itu boleh kekal lama. Ini semua berkait dengan ‘survival’ politik masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, tanpa berselindung, Pas menegaskan menolak sebarang muafakat berpecah dan menyeleweng daripada matlamat asal MN yang diasaskan parti itu bersama UMNO dan mengajak semua untuk bersama PN.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, pihaknya menolak sebarang muafakat tanpa Bersatu dan kumpulan yang menunjukkan ketidaksetiaan kepada negara selain budaya melampau hingga mencabar agama dan bangsa.
Kata Abdul Hadi, MN pada mulanya diwujudkan bagi membela umat dalam satu negara dengan pembabitan semua golongan di atas Perlembagaan Persekutuan merdeka dan berdaulat.
Malah, Pas juga menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat pada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, meskipun Pas bersama Bersatu, namun, peluang mereka dalam pilihan raya juga dilihat masih 50-50.
“UMNO juga mempunyai kekuatan, namun, mahu tidak mahu mereka juga perlu mencari rakan kerjasama dalam pilihan raya nanti. Peluang untuk menang dengan menjalinkan kerjasama itu adalah lebih besar.
“Namun, jika ketiga-tiga parti ini Pas, UMNO dan Bersatu dapat bersama ia akan memberi lebih kelebihan,” katanya. – UTUSAN











