LAMP perlu beri penjelasan, pembatalan PDF Bukit Ketam - Utusan Malaysia

LAMP perlu beri penjelasan, pembatalan PDF Bukit Ketam

LEE Chean Chung (tengah) bersama Zuraidi Ismail (kanan) menunjukkan dokumen yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pahang berkaitan pembatalan PDF Bukit Ketam di Pusat Komuniti Dun Semambu di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lynas Advanced Material Plant (LAMP) digesa memberi penjelasan tentang pengurusan sisa Water Leach Purification (WLP) ekoran pembatalan cadangan Tapak Sisa Kekal (PDF) di Bukit Ketam, dekat sini oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, penjelasan itu perlu dikeluarkan dalam tempoh terdekat bagi memastikan sisa WLP tidak dibuang di kawasan terbabit selepas JAS mengeluarkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“LAMP belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit sedangkan pengumuman itu penting khususnya bagi warga Bandaraya Kuantan.

“LAMP perlu umumkan apakah langkah diambil selepas JAS menolak permohonan membina PDF di situ (Bukit Ketam). Ke mana sisa WLP itu akan disimpan? Bila cadangan seterusnya akan dibuat? Perkara ini penting dan perlu didedahkan kepada umum.

“JAS perlu menetapkan satu tarikh akhir kepada LAMP untuk mengemukakan cadangan alternatif bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan penduduk,” katanya dalam sidang akhbar tentang pembatalan Tapak PDF Lynas Bukit Ketam di Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu, di sini hari ini.

Chean Chung berkata, pembatalan yang diputuskan JAS itu jelas membuktikan tapak PDF tidak sesuai dan selamat dibina di kawasan berkenaan.

“Terdahulu, laporan JAS membuktikan bahawa wujudnya Sungai Ara di tapak tersebut yang mengalir ke Sungai Riau sebelum ke Sungai Kuantan dan ia juga merupakan sumber utama bagi Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan Semambu.

“Loji ini membekalkan lebih kurang 781,100 akaun pengguna. Jika sisa LWP dibuang di Bukit Ketam pasti menjejaskan kualiti sumber bekalan air semasa di peringkat kerja-kerja tanah, pembinaan dan pengoperasian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal PKR Indera Mahkota, Zuraidi Ismail menyarankan agar Kerajaan Negeri Pahang menilai semula kelulusan yang diberikan berpandukan laporan EIA.

“Kerajaan Pahang dan LAMP boleh memberi cadangan lokasi lain yang lebih sesuai jika mahu satu lokasi tepat untuk sisa pembuangan WLP ini.

“Tetapi kita tidak mahu kawasan di Bukit Ketam, jika boleh kita hendak ia dikekal sebagai kawasan yang tidak boleh diusik seperti yang digazetkan oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya