Komplot 19 syarikat edar daging import Brazil lebih had tumpas

Komplot 19 syarikat edar daging import Brazil lebih had tumpas

HUZIR Mohamed (kanan) menerangkan jenayah pakatan jahat yang membabitkan 19 syarikat dalam mengedarkan daging sejuk beku import di IPK Johor, Johor. Turut sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (dua dari kiri).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan jahat 19 buah syarikat berkomplot mengedar daging import sejuk beku dari Brazil melebihi had permit dan menggunakan kotak berlogo halal bagi mengeliru syarikat pembekal yang lain dibongkar polis dan beberapa agensi lain.

Dengan perbuatan tersebut, syarikat terbabit dipercayai telah mengedarkan lebih daripada 1,000 tan kepada 202 syarikat dan mengaut keuntungan sehingga RM52 juta setahun.  

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan mendapati kesemua 19 syarikat itu telah berkomplot dengan sebuah pengimport daging sejuk beku import yang sah sejak 2018 hingga tahun lalu. 

Katanya, kegiatan pakatan jahat 19 syarikat itu terbongkar selepas 36 individu ditahan dalam Op Kartel Daging yang dilancarkan oleh JSJ di seluruh negara pada Jumaat lalu. 

Katanya, dalam operasi tersebut, polis menahan seramai 34 pengarah syarikat dan dua pengurus syarikat yang terdiri daripada 26 lelaki dan 10 wanita berusia 28 hingga 67 tahun. 

“Hasil siasatan mendapati kesemua mereka merupakan pelanggan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil. Mengikut permit import, syarikat itu hanya layak untuk mengimport sebanyak 108 tan menggunakan empat permit di mana satu permit hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan sahaja. 

“Walau bagaimanapun syarikat ini didapati telah mengedar lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggan yang dibuktikan melalui invois yang dirampas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini. 

Huzir berkata, selain mengimport bekalan dari syarikat di Brazil, syarikat terbabit juga menerima bekalan daging daripada syarikat tempatan. 

Katanya, syarikat itu juga didapati menempah kotak berlogo halal untuk membungkus semula daging yang diimport dari Brazil dan daging dari syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan. 

Jelasnya, perbuatan itu membolehkan syarikat tersebut mampu menawarkan harga yang lebih murah berbanding syarikat lain iaitu antara 20 sen hingga RM1 sekilogram. 

“Syarikat itu juga mampu memberi kemudahan pembayaran yang lebih mudah iaitu kredit selama tiga bulan selain mampu memenuhi permintaan pelanggan kerana sentiasa mempunyai stok yang mencukupi. 

“Siasatan pihak polis mendapati kegiatan ini telah menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran. 

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada umat Islam tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia. Daging yang dibungkus semula itu juga tidak dapat disahkan tahap kebersihan dan tidak diperakui oleh pihak veterinar,” katanya. 

Katanya, polis masih meneruskan usaha memburu dua suspek utama lelaki iaitu Tan Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, dekat sini dan Wong Ah Kheong dari Kuantan, Pahang bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 120B Kanun Keseksaan dilakukan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya