PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara merekodkan 200 individu diberkas semalam berbanding 230 individu ditahan kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, 198 dikompaun manakala dua direman dengan kesalahan tertinggi ialah tidak memakai pelitup muka sebanyak 53 kes.
Ujarnya, ini diikuti pelbagai kesalahan lazim lain iaitu gagal merekod butiran atau daftar masuk di premis (46), tiada penjarakan fizikal (44) aktiviti pusat hiburan (28) dan lain-lain lagi (29).
“Seramai enam orang pendatang asing tanpa izin turut ditahan melalui Operasi Benteng dengan sebanyak 157 buah bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan pasukan keselamatan,” kata beliau melalui kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, katanya, seramai 678 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya dikuarantin dengan sejumlah 7,469 individu terbabit masih lagi menjalani proses tersebut.
Seramai 1,577 individu terbabit dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 172,747 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melakukan 2,148 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan dua premis diberikan nasihat manakala dua dikenakan kompaun. – UTUSAN










