PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan penetapan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 bertujuan menyekat perlakuan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak beretika dan bukannya untuk menganiaya golongan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penguatkuasaan skim itu yang bermula semalam sehingga 20 Mei ini menggunakan pendekatan seimbang peniaga dan pengguna.
Justeru, katanya, tidak timbul isu kerajaan menganiaya peniaga akibat pelaksanaan skim tersebut kerana terpaksa menanggung kerugian ekoran harga tinggi daripada pembekal.
Sebaliknya, kata beliau, ia memberi manfaat kepada kedua-dua pihak yang mana peniaga mendapat faedah kerana skim itu turut melibatkan setiap rantaian pengedaran barang bagi mengekang isu orang tengah yang cuba memanipulasi harga semasa berurus niaga dalam kalangan peniaga sendiri.
“Pengguna pula dapat menikmati harga runcit pada kos yang berpatutan, terutama apabila dalam tempoh kemuncak seperti sepanjang Ramadan dan menjelang perayaan.
“Penetapan harga siling di bawah skim ini adalah berdasarkan sesi libat urus bersama agensi kerajaan berkaitan dengan bekalan dan harga, selain maklumat daripada pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong turut diambil kira. Ia menunjukkan penetapan harga siling mengambil kira semua pihak khususnya peniaga,” katanya di sini semalam.
Menurut Alexander, kementerian menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat harga daripada beberapa pendekatan iaitu melalui pemantauan harga di semua daerah seluruh negara sepanjang tahun lalu hingga bulan ini berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP.
Beliau berkata, turut diambil kira adalah pandangan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta maklumat daripada pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong.
Beliau menjelaskan, penentuan harga bagi negeri-negeri mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.
“Pelaksanaan skim ini adalah demi melindungi pengguna daripada perlakuan segelintir peniaga yang tidak beretika menaikkan harga barangan keperluan semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei ini.
“Pelaksanaan SHMMP HRP 2021 ini adalah secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan 12 jenis barang dan fasa kedua melibatkan pertambahan barang.
“Pelaksanaan SHMMP 2021 ini secara berfasa ini adalah bagi menstabilkan harga barang kritikal dan mengekang kenaikan harga daripada terus berlaku. Ia juga sebagai tanda kerajaan mengambil berat dan bertindak atas rungutan pengguna pada masa sekarang,” katanya.
Alexander berkata, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan dan melanggar pematuhan SHMMP 2021 akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti iaitu bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 (individu) dan boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 (syarikat). – UTUSAN










