KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digesa mengkaji semula formula penetapan harga ayam hidup dan ayam standard untuk Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2021 supaya pemain industri berkenaan tidak terbeban.
Ini berikutan, harga sedia ada dikatakan tidak relevan kerana tidak mengambil kira faktor susut berat ayam hidup selepas diproses sekali gus merugikan pengusaha kilang pemprosesan ayam.
Pengusaha kilang pemprosesan ayam, Hamdan Abdul Hamid, 44, berkata, harga ayam hidup yang ditetapkan menerusi skim itu adalah RM6.30 sekilogram dan purata berat seekor ayam kira-kira 2.2 kilogram.
“Jadi, harga kos untuk seekor ayam hidup adalah RM13.86, namun, selepas proses penyembelihan dan membuang bulu serta perut, berat ayam akan berkurang secara purata kira-kira 400 gram menjadikan berat seekor ayam kira-kira 1.8 kilogram.
“Jika kami jual dengan harga RM7.10 iaitu harga yang ditetapkan bagi ayam standard, bermakna seekor ayam berharga RM12.78 sen iaitu lebih rendah dari harga modal,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Hamdan berkata, bagi mengelak kerugian, dia mengambil keputusan untuk hanya memproses dan menjual ayam super kerana harga ditetapkan masih boleh menguntungkan.
“Saya memperoleh ayam dengan harga RM6.05 untuk sekilogram daripada penternak, tetapi, walaupun harga itu lebih rendah daripada harga ditetapkan kerajaan, namun, jika dijual pada harga RM7.10 sekilogram, masih lagi saya mengalami kerugian,” katanya.
Sementara itu, Pengurus syarikat Ayam Putih MG Sdn. Bhd., Azlisham Muhammad, 34, berkata, pihaknya tiada masalah mengikut harga yang ditetapkan kerajaan kerana mempunyai ladang ternakan sendiri.
“Kami mengikut harga yang ditetapkan kerajaan, namun, sebagai pemain industri ini, kami faham pihak yang terkesan dengan skim harga yang ditetapkan dan langkah kerajaan pula hanya untuk memastikan pengguna tidak terbeban.
“Mungkin kerajaan perlu memikirkan penyelesaian supaya ada situasi menang-menang sebagai contoh memberikan subsidi untuk harga ayam sepanjang tempoh musim perayaan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE