SABAK BERNAM: Kegiatan dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang memiliki taraf penduduk tetap di negara ini menyeludup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia sejak setahun yang lalu terbongkar selepas mereka dicekup polis di tali air Parit 8 Sekinchan, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia 45 dan 56 tahun ditahan ketika cuba membawa masuk 14 PATI warga Indonesia termasuk sembilan wanita.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Selangor, Superintenden Rizal Mohamed berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah teksi dinaiki individu terbabit yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan di sekitar pesisir pantai kawasan itu telah menemukan 14 warga Indonesia berusia 14 hingga 64 tahun.
“Kesemua PATI ini didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan masuk ke Malaysia menggunakan jalan laut yang tidak diwartakan menggunakan bot.
“Kesemua mereka kemudian dilepaskan di pesisir pantai Bagan Sekinchan sebelum dibawa oleh dua individu terbabit yang berperanan sebagai ‘transporter’ untuk membawa PATI keluar dari lokasi pendaratan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Rizal, siasatan awal mendapati lelaki warga Indonesia yang mendapat status pemastautin tetap sejak 1986 itu masuk ke Malaysia para 1983 dan merupakan ketua membawa masuk PATI ke negara ini.
Katanya, lelaki terbabit menerima arahan pergerakan daripada seorang wanita di Indonesia yang juga merupakan ibu mentuanya melalui panggilan telefon.
“Ketika ditahan, lelaki Indonesia membawa teksi dengan menyewa kenderaan tersebut dari seorang lelaki dengan kadar RM30 sehari manakala warga tempatan memberi alasan untuk menjemput abang iparnya.
“Mereka ini dipercayai mengambil upah RM1,200 bagi setiap PATI yang ingin masuk ke Malaysia. Siasatan awal mendapati kedua-dua individu terbabit telah berkenalan lebih 10 tahun,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut dibawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.
“Kita turut merampas sebuah teksi dan anggaran nilai rampasan RM24,000,” katanya. – UTUSAN











