PETALING JAYA: Meskipun pembunuhan kejam yang menimpa Nurin Jazlin telah 14 tahun berlalu, wajah kanak-kanak malang itu tetap teguh dalam ingatan bapanya, Jazimin Abdul Jalil, 47.
Malah, episod tragis yang menimpa anaknya pada Ogos 2007 membuatkan diri Jazimin terus kuat dalam mencari kebenaran mengenai kes kehilangan kanak-kanak itu.
Utusan Malaysia berkesempatan menemui semula Jazimin di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak, dekat sini, semalam dan ternyata rindu lelaki itu pada Nurin Jazlin tidak pernah padam kerana setiap sudut dinding rumah mereka masih digantung gambar anak perempuannya itu.
Malah, baju sekolah yang pernah dipakai Nurin Jazlin turut digantung di dalam almari di bilik anaknya itu meskipun warna yang terdapat pada kain tersebut kian pudar.
Selain itu, Jazimin mengabadikan nama dan gambar Nurin Jazlin di kain rentang yang dihias rapi di dua kedai makan miliknya di Menara Teo Chew dan Malay Town, Jalan Pekeliling, dekat sini.
“Saya baru sahaja menjalankan perniagaan di dua lokasi berkenaan sejak awal tahun ini. Dua kedai makanan ini dinamakan sebagi Jazlin Food Kitchen Cafe sempena Allahyarham dan diuruskan oleh isteri saya, Helen Lim.
“Idea itu tercetus apabila saya mahu ‘Nurin Jazlin’ sentiasa dekat pada diri saya. Selain itu, apabila pelanggan datang ke cafe itu mereka secara tidak langsung akan mendoakan dan sedekahkan Al- Fatihah untuknya,” katanya.
Jazimin percaya Nurin Jazlin tidak pernah dilupakan rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes kanak-kanak itu.
“Ada juga pelanggan yang datang dan bergambar bersama ‘banner’ Nurin.
“Saya sangat berterima kasih kepada pemilik bangunan, Datuk Teow Chew dan tapak saya berniaga di Malay Town, Datuk Sahimi Sani yang banyak membantu membenarkan saya berniaga,” jelasnya.
Mengulas lebih lanjut, jauh di lubuk hati Jazimin, dia yakin mayat yang dikebumikannya sebelum ini bukan anaknya yang hilang itu.
Kata beliau, fizikal rambut, bentuk gigi dan ketiadaan parut suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pada mayat didakwa Nurin Jazlin masih gagal menyakinkan itu adalah anaknya.
“Namun saya pasrah dan bersetuju mengebumikan kanak-kanak itu selepas memikirkan tanggungjawab sebagai bapa kerana menganggap jenazah itu sama seperti anak kandung sendiri.
“Walhal secara jujur, masih terdapat kesangsian sama ada mayat yang dikebumikan adalah Nurin Jazlin atau nama panggilannya Kak Ngah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Jazimin turut berharap siasatan kes anak perempuannnya tidak berakhir begitu sahaja memandangkan pembunuh kanak-kanak ini masih bebas.
“Dengan keadaan teknologi yang semakin canggih kini, saya percaya kemungkinan terdapat petunjuk baharu yang boleh membantu siasatan kes.
“Contohnya, cap jari pada beg yang digunakan menyembunyikan Nurin Jazlin ketika itu atau nombor pendaftaran pada motosikal yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut,” ujarnya.
Beliau tidak akan berputus asa dan akan tenang sehingga penjenayah sebenar dikenal pasti.
“Hanya dia (pembunuh) dan Nurin Jazlin sahaja yang tahu apa sebenarnya berlaku ketika itu,” katanya menutup perbualan. – UTUSAN ONLINE










