fbpx

12 April 2021, 8:46 pm

  TERKINI

Bekas timbalan pengarah kanan DBKL bebas tuduhan terima RM150,000

SABUDIN Mohd. Salleh (kanan) diiringi peguamnya keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur setelah dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan menerima wang RM150,000 daripada seorang pengarah syarikat. - FOTO/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas timbalan pengarah kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap tuduhan menerima wang RM150,000 daripada seorang pengarah syarikat, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin melepas dan membebaskan Sabudin Mohd. Salleh, 59, tanpa memanggilnya membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Tertuduh merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendengar keterangan semua saksi dan meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta meneliti autoriti yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Sabudin bebas daripada tuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barang berharga iaitu wang tunai RM150,000 daripada Pengarah Tegap Elit Sdn. Bhd., Chia Chee Seng.

Wang itu sebagai dorongan melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana di sini, antara 13 Ogos dan 19 Ogos 2018.

Sabudin didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin hadir bagi pihak pendakwaan manakala Sabudin diwakili oleh peguam K. Theivaendran. – UTUSAN ONLINE