Warga asing akui hasil tanam sayur lumayan - Utusan Malaysia

Warga asing akui hasil tanam sayur lumayan

SEORANG warga asing mengusahakan kebun sayur di Balik Pulau, Pulau Pinang. – UTUSAN/ MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Pendatang asing warga Bangladesh memilih untuk mengusahakan tanah kebun milik warga tempatan kerana pekerjaan itu menjamin pula­ngan yang berbaloi dan mampu memberikan kehidupan selesa.

Mereka yang ditemui Utusan Malaysia di Pulau Betong, di sini memberitahu, mengusaha­kan tanaman sayur-sayuran menjanjikan pendapatan yang lumayan daripada makan gaji sebagai buruh atau pekerja kontrak.

Mereka mengakui mampu menjana pendapatan sehingga empat angka.

Tinjauan mendapati tanah per­tanian yang diusahakan itu meliputi kelua­san lebih 0.2 hektar dengan pelbagai hasil tanaman.

Antaranya bayam hijau, merah, timun, kacang panjang, kangkung, sawi, peria, kubis, petola serta bendi.

Seorang pengusaha kebun di Titi Teras, Md. Ali, 43, berkata, pengalaman bercucuk tanam di tanah milik rakannya di negara asal memberi peluang kepada­nya mengusahakan beberapa kebun di negeri ini sejak 13 tahun lalu.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, pendapatan pengeluaran sayur-sayuran termasuk tanaman padi di Bangladesh adalah RM400 sebulan.

“Jumlah itu berbeza dengan apa yang saya dapat hari ini. Saya sanggup pinjam RM8,000 daripada keluarga semata-mata mahu mencari kerja di Pulau Pinang 13 tahun lalu.

Tambahnya, dia mula me­ngusahakan tanah kebun milik penduduk tempatan di Balik Pulau bersama seorang rakyat tempatan sejak tujuh tahun lalu.

“Cukup masa, semua sayur akan dikutip dan dijual kepada peniaga pasar di kawasan ini setiap petang,” ujarnya.

Difahamkan, tanah-tanah milik penduduk tempatan itu yang sebelum ini kosong disewa RM400 sebulan dan pemiliknya tidak mampu mengusahakannya disebabkan faktor usia.

Jelas Md. Ali, permintaan daripada peniaga pasar membantu menambah pendapatan mele­bihi RM3,000 sebulan.

Namun katanya, jumlah tersebut perlu dibahagikan dengan rakan kongsi termasuk membayar gaji dua pekerja, sewa tanah dan pembelian baja serta peralatan pertanian.

Tambahnya, harga bagi setiap jenis sayur-sayuran juga tidak sama iaitu serendah RM1 bagi setiap kilogram selain faktor mengikut cuaca atau musim.

Difahamkan, akan berlaku kenaikan harga pada musim hujan berbanding pada musim panas.

Syahir Alif, 44, berkata, me­ngusahakan kebun sayur memberi kepuasan dan kesenangan buatnya berbanding bekerja sebagai kontrak binaan.

“Boleh senang jika buat be­tul-betul. Hasil jualan tanaman sayur-sayuran seperti kangkung, sawi, bayam, kacang panjang dan bendi kini boleh dapat sehingga RM60 sehari.

“Setiap bulan, saya akan hantar duit RM1,000 kepada keluarga di kampung. Saya juga tunggu masa hendak pulang bertemu mereka kerana sudah lapan tahun berada di Malaysia,” katanya.

Syahir berkata, sayur yang ditanamnya itu akan dijual serendah 80 sen sekilogram kepada peniaga pasar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN